Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM130,000 kepada 260 individu dari Selangor di bawah Program Ehsan TH sempena Ramadan 1435H/2014M.
YBhg. Tan Sri Dato' Hashim Meon, Ahli Lembaga Pengarah TH, menyerahkan sumbangan tersebut di Dewan Melawati, TH Hotel, Kelana Jaya, Selangor.
Penerima terdiri dari ibu dan bapa tunggal, warga emas, orang kurang upaya, dan juga termasuk lapan (8) orang asnaf yang telah terpilih untuk menerima sumbangan Projek Baiti di Negeri Selangor.
Pada tahun ini, TH mensasarkan agihan zakat berjumlah RM1.7 juta kepada seramai 3,424 asnaf miskin dan fakir di seluruh negara. Negeri Selangor merupakan lokasi keempat dalam siri jelajah Projek Ehsan pada tahun ini. Penerima sumbangan pada hari ini menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 setiap seorang.
Projek Ehsan merupakan program tanggungjawab social (CSR) tahunan TH yang diadakan pada bulan Ramadan bertujuan meringankan bebanan kewangan golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya dalam membuat persiapan dan persediaan menyambut Syawal. Selain memupuk dan melahirkan masyarakat penyayang serta memberikan keceriaan kepada golongan ini.
Turut hadir di majlis itu ialah YB. Datuk Rosni Sohar, Ahli Lembaga Pengarah TH dan pengurusan TH.