Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji ( PJH )
PERINGATAN
Bakal Haji Visa Haji Urusan Sendiri (“VHUS”)
Rakyat Malaysia (individu atau institusi) yang memperolehi Visa Furada atau Visa Mujamalah melalui jemputan daripada pihak Kerajaan Arab Saudi hanya dibenarkan untuk menunaikan haji melalui Pengelola Jemaah Haji (PJH) termasuk TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) yang telah diluluskan lesen oleh TH menurut Seksyen 28 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Permohonan untuk mengikuti PJH hanya boleh dilakukan semasa di tanah air sahaja manakala permohonan setelah bakal haji berada di Tanah Suci adalah tidak dibenarkan.
Semua bakal haji VHUS wajib mendaftar haji dengan TH. Bayaran Haji yang akan ditetapkan oleh TH adalah merangkumi semua jenis perkhidmatan yang disediakan. Walau bagaimanapun, bakal haji VHUS tidak layak untuk menerima Bantuan Kewangan Haji (HAFIS).
Bakal haji juga adalah tertakluk kepada kelulusan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh Pegawai Perubatan berdaftar dengan TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta direkodkan dalam Buku Rekod Rawatan Kesihatan (BRRK) bakal haji.
Paspot Malaysia Antarabangsa (PMA) milik bakal haji VHUS yang telah divisakan perlu diserahkan kepada TH untuk direkodkan dan akan dikembalikan semasa lapor diri sebelum berlepas ke Tanah Suci menggunakan penerbangan komersil yang disediakan oleh PJH. Perkhidmatan pakej haji ditawarkan oleh agensi-agensi pelancongan Bumiputera Muslim yang telah diberikan lesen oleh TH iaitu Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH).
Senarai PJH
Senarai PJH 1445H/2024M yang terkini adalah seperti di bawah:
Muat turun senarai PJH 1445H/2024M dalam bentuk pdf.
Kemas kini | Selasa, 9 Januari 2024
Permohonan Lesen PJH
Bermula Musim Haji 1446H/2025M, Semua Agensi Pelancongan Hendaklah |
---|
Permohonan Lesen PJH Musim Haji 1447H/2026M Tarikh Permohonan Dibuka |
Fungsi Bahagian Agensi Haji
- Pemilihan Dan Pelesenan Pengelola Jemaah Haji (PJH)
- Pengurusan permohonan kelayakan memohon lesen PJH.
- Pemilihan agensi pelancongan yang layak memohon lesen.
- Kelulusan lesen PJH.
- Pengurusan PJH
- Penyempurnaan dokumentasi, jaminan dan pengeluaran lesen.
- Pendaftaran bakal haji yang memilih untuk menunaikan haji melalui Pakej Haji TH Travel & Services Sdn. Bhd (THTS) atau Pakej Haji PJH.
- Pendaftaran petugas THTS/PJH.
- Tempahan dan alokasi Penerbangan THTS/PJH.
- Pemantauan Dan Penilaian PJH
- Pemantauan aktiviti THTS/PJH semasa di Malaysia dan di Tanah Suci.
- Pengurusan laporan, aduan dan arahan siasatan bagi pelanggaran Terma dan Syarat Lesen PJH oleh THTS/PJH.
- Pengurusan penilaian prestasi.
- Pembangunan PJH
- Taklimat kepada THTS/PJH dari masa ke semasa.
- Kursus/seminar petugas THTS/PJH.
- Membantu PJH mempromosikan Pakej Haji mereka.
- Menganjur Karnival PJH
Perkhidmatan Ditawarkan
Bahagian Agensi Haji
- Dasar Pengurusan PJH
Dasar pengurusan PJH berkembang berasaskan prinsip penambahbaikan berterusan. Sebarang perubahan dasar akan mempunyai implikasi perubahan tatacara pelaksanaan dan prosidur PJH. Tujuannya untuk memantapkan lagi pengurusan PJH dan meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka kepada jemaah haji. Perkara asas dalam pengurusan PJH ini ialah kepuasan jemaah haji yang memilih mereka dalam menerima perkhidmatan haji yang mempunyai nilai tambah pada aspek-aspek yang ditentukan yang mana ianya amat membantu jemaah haji ke arah mendapatkan haji yang mabrur. Pada masa yang sama PJH mampu membangun dan bersaing sesama mereka secara sihat dalam menjalankan aktiviti perniagaan ini.
- Permohonan Lesen PJH
Lesen PJH hanya sah digunakan untuk satu (1) Musim Haji sahaja. Semua agensi pelancongan perlu membuat permohonan Lesen PJH yang baharu setiap tahun bagi tujuan untuk mengelola jemaah haji swasta.
- Program Pembangunan PJH
Setelah PJH diberi lesen, TH mengambil tanggungjawab bagi pembangunan PJH supaya dapat memberikan perkhidmatan nilai tambah yang terbaik kepada jemaah haji.
Proses pembangunan PJH ini dibuat melalui:- Taklimat kepada Tenaga Utama dan Pegawai Kanan PJH dari semasa ke semasa.
- Kursus kepada Petugas PJH yang akan berkhidmat di Tanah Suci dan penilaian kursus yang diadakan.
- Promosi pakej PJH.
- Menganjur Karnival PJH.
- Pengurusan PJH
TH juga menguruskan perkara-perkara berikut untuk membolehkan PJH beroperasi iaitu:- Pendaftaran jemaah haji yang menyertai PJH.
- Pengeluaran brosur PJH untuk edaran dan hebahan kepada semua jemaah haji ‘Terpilih’.
- Pemilihan dan pendaftaran Petugas PJH.
- Penyediaan paspot dan visa kepada petugas PJH.
- Tempahan dan alokasi penerbangan bakal haji dan petugas PJH.
- Bayaran Haji PJH
PJH hendaklah memastikan bakal haji mempunyai sejumlah wang yang telah ditetapkan dalam akaun TH bagi membolehkan TH mengurus keperluan-keperluan asas yang berkaitan seperti berikut:- Bayaran-bayaran di atas secara kolektifnya dirujuk sebagai “Bayaran Haji” yang mana bakal haji dikehendaki mendepositkan bayaran tersebut ke akaun TH masing-masing.
- Jemaah haji yang mengikut pakej haji yang ditawarkan oleh PJH adalah tidak diberikan sebarang bantuan haji (subsidi) dan Bayaran Haji adalah berubah-ubah setiap tahun.
- Sebelum 1431H/2010 Bayaran Haji PJH dibezakan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Walaubagaimanapun ianya telah diselaraskan bagi seluruh Malaysia (mulai 1431H/2010) sehingga kini. Manakala Bayaran haji bagi THTS pula telah diselaraskan mulai 1430H/2009.
- Pemantauan Dan Penilaian PJH
- TH memantau dan menilai perkhidmatan PJH yang beroperasi di Tanah Suci melalui:
- Pasukan Petugas TH di peringkat maktab di Makkah dan zon di Madinah.
- Borang Skima Untuk Penilaian dan Pemarkahan (SUPP).
- Borang Soal Selidik Maklumbalas Kepuasan Jemaah Haji (BSS) terhadap perkhidmatan PJH.
- Petugas TH akan melakukan lawatan untuk memastikan PJH mematuhi Terma dan Syarat lesen PJH yang berkaitan dengan perkhidmatan nilai tambah di Tanah Suci dan memberi pemarkahan mengikut skima yang ditetapkan.
- Petugas TH akan mengedarkan BSS kepada jemaah haji untuk mendapatkan penilaian jemaah haji terhadap perkhidmatan PJH.
- TH memantau dan menilai perkhidmatan PJH semasa beroperasi di Malaysia melalui:
- Memantau promosi dan pemasaran yang dijalankan oleh PJH atau ejen.
- Pendaftaran bakal haji PJH.
- Persediaan awal Operasi Haji Tanah Suci.
- Urusan check-in di stesen berlepas.
- Urusan Pasport dan Visa Bakal haji
- Kursus-kursus Haji.
- Pematuhan kepada keperluan proses pelesenan.
- Antara penalti yang boleh dikenakan terhadap PJH yang melanggar Terma dan Syarat lesen PJH adalah:
- Amaran lisan atau bertulis.
- Denda kewangan.
- Digantung atau ditamatkan lesen.
- TH memantau dan menilai perkhidmatan PJH yang beroperasi di Tanah Suci melalui:
Pengelola Jemaah Haji (PJH)
- Objektif Perkhidmatan PJH
- Membolehkan jemaah haji mendapat perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah.
- Membuka peluang kepada Agensi Pelancongan Bumiputera Muslim untuk mengendalikan jemaah haji secara terkawal sebagai PJH.
- Membolehkan TH bergerak ke hadapan menuju matlamat mengawal selia keseluruhan pengurusan haji dengan tanggungan kos yang paling minimum.
- Dalam memberikan perkhidmatan haji, TH sentiasa berusaha memberikan kepuasan kepada jemaah haji dan membantu mereka ke arah mencapai haji mabrur. TH juga memberi pilihan kepada mereka untuk pergi menunaikan haji melalui cara yang mereka rasa selesa dan mengikut kemampuan kewangan mereka masing-masing.
- Seksyen 27 hingga 33 Bab V, Akta 535 Akta Tabung Haji 1995, adalah peruntukan-peruntukan tentang PJH. Ia merujuk kepada lesen sah yang dikeluarkan oleh TH kepada Agensi Pelancongan Bumiputra Muslim untuk menawar dan mengurus perkhidmatan pakej haji dengan memenuhi syarat-syarat permohonan lesen yang ditetapkan oleh TH.
- PJH juga merujuk kepada pihak yang diberi lesen untuk beroperasi memberikan Perkhidmatan Pakej Haji yang mempunyai nilai tambah bagi beberapa aspek perkhidmatan seperti penginapan, sajian, pelayanan petugas, pengurusan umrah dan pengurusan ziarah di bawah pemantauan TH mengikut peruntukan-peruntukan dalam Akta 535 Akta Tabung Haji 1995.
- Jemaah haji boleh memilih untuk menunaikan fardu haji melalui kaedah-kaedah berikut:
- TH (Muassasah)
Dikendalikan sepenuhnya oleh TH dengan kerjasama Mashariq. - Pakej Haji TH Travel & Services Sdn. Bhd (THTS)
Dikendalikan oleh Anak Syarikat TH dengan pengawasan TH dan Mashariq. - Pakej Haji PJH (melalui Agensi Pelancongan Bumiputra Muslim yang dilesenkan oleh TH)
Dikendalikan oleh PJH dengan pengawasan TH dan Mashariq.
- TH (Muassasah)
Kelebihan Pakej Haji PJH
Proses Pendaftaran Pakej Haji PJH
Sejarah Perkembangan PJH
PJH telah melalui beberapa tahap perkembangan iaitu:
- Ejen Syeikh Haji (sebelum 1404H/1984);
- Sistem Muassasah (1404H/1984);
- Sistem Amir (1405H/1985);
- Kumpulan Perumahan Khas (1406H/1986 – 1410H/1990);
- Syarikat-syarikat Swasta (1408H/1988 – 1414H/1994);
- Konsortium (1415H/1995 – 1419H/1999); dan
- Pengelola Jemaah Haji (PJH) - (1420H/2000 sehingga kini).
-
EJEN SYEIKH HAJI (SEBELUM 1404H/1984)
- Sebelum tahun 1984, semua jemaah haji dikelolakan oleh Syeikh-Syeikh Haji semasa mereka berada di Tanah Suci.
- Syeikh Haji ialah orang perseorangan di Arab Saudi yang ditauliahkan (diberi kuasa) oleh pihak Berkuasa Arab Saudi untuk mengurus dan memberi perkhidmatan kepada jemaah haji.
- Syeikh Haji mendapat bayaran perkhidmatan yang dikenakan ke atas setiap jemaah haji seperti yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
- Syeikh-Syeikh Haji melantik ejen untuk menjalankan kempen dan membuat promosi di kalangan bakal-bakal haji supaya mereka dapat memilih Syeikh Haji mereka. Apabila jemaah haji tiba di Jeddah/Madinah, mereka akan memilih Syeikh Haji mereka. Paspot mereka akan dicop dengan nama Syeikh Haji pilihan mereka itu dan mereka diserahkan kepada pihak Syeikh Haji tersebut untuk mengelolakan perjalanan dan urusan mereka di Tanah Suci. Ejen menerima bayaran daripada Syeikh Haji masing-masing mengikut bilangan jemaah haji yang berjaya diperolehi.
- Kerajaan Malaysia melalui TH, melantik ejen-ejen Syeikh Haji dalam menjalankan promosi dan membawa jemaah haji ke Tanah Suci untuk dikelolakan oleh Syeikh Haji masing-masing. Bahagian IX Seksyen 83 hingga 87, Akta 8, 1969 Lembaga Urusan dan Tabung Haji, adalah peruntukan-peruntukan mengenai kawalan ke atas Ejen Syeikh Haji.
-
SISTEM MUASSASAH (1404H/1984)
- Mulai musim haji 1404H/1984, Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan Sistem Muassasah (Konsortium Syeikh-Syeikh Haji) di mana Syeikh-Syeikh Haji distrukturkan di bawah satu Lembaga.
- Lembaga diberi kuasa melantik mana-mana Syeikh Haji untuk mengetuai dan menganggotai kumpulan-kumpulan Syeikh Haji untuk memberikan perkhidmatan kepada sekumpulan jemaah haji di peringkat operasi (maktab) yang mengandungi seorang ketua dan beberapa orang anggota di kalangan Syeikh Haji untuk mengelolakan diantara 2,000 hingga 3,000 orang jemaah haji.
-
SISTEM AMIR (1405H/1985)
- Sistem Amir telah diperkenalkan pada tahun 1405H/1985.
- Sistem Amir merujuk kepada seorang jemaah haji yang boleh memimpin sekumpulan jemaah haji lain untuk menunaikan haji yang berfungsi bagi memimpin dan menggerakkan jemaah haji mereka supaya saling bantu-membantu sesama mereka semasa menunaikan fardu haji di Tanah Suci.
- Ketua-ketua kumpulan tersebut diberi pengiktirafan oleh TH untuk memimpin jemaah haji masing-masing dan diberi beberapa kemudahan seperti lencana pengenalan diri sebagai “Amir” (Ketua). TH juga mengeluarkan garis panduan untuk membolehkan Amir-Amir ini menjalankan fungsi mereka sebagai ketua kumpulan jemaah haji.
- Sistem Amir ini tidak diteruskan kerana TH sukar mengawal sebahagian Amir yang menimbulkan kerumitan, memburuk atau menyalahkan TH apabila jemaah haji mereka mengalami kesulitan seperti BPJH yang jauh daripada Masjid Al Haram atau Masjid Nabawi, mengenakan bayaran tambahan yang tidak berpatutan, berlaku kelewatan dalam pengendalian kenderaan dan sebagainya.
-
KUMPULAN PERUMAHAN KHAS (1406H/1986 – 1410H/1990)
- Kumpulan Perumahan Khas (KPK) diwujudkan oleh TH pada tahun 1986.
- Ketua KPK terdiri daripada bekas Amir atau syarikat yang berdaftar di Malaysia. Jemaah haji KPK berdaftar dengan TH dan berada di bawah tanggungjawab TH dan MTAT.
- Ketua KPK dibenarkan menyewa sendiri BPJH masing-masing dan menerima wang peruntukan sewa rumah jemaah haji yang menyertai mereka daripada Wang Perbelanjaan Haji (WPH) dan mereka dibenarkan untuk mengutip wang tambahan daripada jemaah haji masing-masing untuk menampung bayaran perumahan khas yang mereka sediakan.
- KPK beroperasi selama lima (5) tahun sehingga 1410H/1990.
- Mulai musim haji 1411H/1991, pengendalian jemaah haji melalui KPK telah ditamatkan kerana terdapat KPK tidak memberikan perkhidmatan yang baik seperti yang dikehendaki oleh TH kepada jemaah haji masing-masing.
-
SYARIKAT-SYARIKAT SWASTA (1408H/1988 – 1414H/1994)
- Mulai 1408H/1988, pengendalian jemaah haji melalui syarikat swasta telah diperkenalkan walaupun KPK masih beroperasi.
- Syarikat swasta ini ialah Agensi Pelancongan Bumiputera Muslim yang diberi lesen oleh TH untuk menguruskan jemaah haji. Ianya beroperasi sehingga tahun 1994 yang mana terdapat 36 syarikat swasta yang terlibat dalam mengendalikan jemaah haji swasta
- Pengendalian jemaah haji melalui syarikat swasta ini ditamatkan pada tahun 1414H/1994 dan digantikan dengan Konsortium Haji.
-
KONSORTIUM HAJI (1415H/1995 – 1419H/1999)
- Konsortium Haji bermula dari tahun 1415H/1995 sehingga 1419H/1999 bagi menggantikan syarikat swasta.
- Konsortium bermaksud gabungan tenaga beberapa buah syarikat swasta yang kukuh dari segi pengurusan kewangan dan mempunyai pengalaman mengelola jemaah haji, dengan dua (2) buah syarikat sederhana dan satu (1) atau dua (2) syarikat baru.
- Mereka bergabung secara pengemblengan tenaga, modal dan kemahiran untuk mengendali secara bersama pengurusan haji secara swasta.
- Terdapat 6 Konsortium Haji diwujudkan oleh pengurusan TH bagi mengendalikanjemaah haji secara swasta.
- Pada musim haji 1416H/1996, salah satu consortium telah dimansuhkan kerana melanggar Akta 535 dengan membawa jemaah haji yang di luar kuota TH. Dengan itu pada musim haji 1417H/1997 hingga 1419H/1999 hanya terdapat lima (5) buah Konsortium Haji saja yang beroperasi.
- Pada musim haji 1419H/1999, tiga (3) buah syarikat Konsortium Haji dilaporkan melakukan aktiviti-aktivi yang bercanggah dengan terma dan syarat pemberian lesen dan pelantikan konsortium oleh TH kerana didapati mengendalikan jemaah haji di luar kuota TH (Furada) dan menyebabkan jemaah haji tersebut terkandas.
- Pengurusan TH telah menarik balik lesen ketiga - tiga konsortium tersebut yang mengakibatkan hanya terdapat dua (2) buah konsortium haji yang boleh beroperasi.
- Kedua-dua konsortium telah dibubarkan dan digantikan dengan perkhidmatan haji kaedah TH - Swasta atau PJH untuk beroperasi mulai Musim Haji 1420H/2000.
-
PENGELOLA JEMAAH HAJI (BERMULA 1420H/2000M)
- PJH mula diperkenalkan pada tahun 1420H/2000M. Ia merujuk kepada Agensi Pelancongan Bumiputra Muslim yang diberikan lesen untuk menguruskan jemaah haji swasta.
- PJH juga merujuk kepada TH Travel & Services Sdn. Bhd. (THTS) dan Agensi Pelancongan Bumiputera Muslim yang diluluskan Lesen PJH tahun semasa.
- JH PJH juga adalah jemaah TH. Mereka adalah rakyat Malaysia yang berdaftar dengan TH sepertimana jemaah haji Muassasah.
- JH yang menunaikan haji melalui PJH tidak diberikan ‘Bantuan Haji’ (subsidi) sepertimana jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji kali pertama.
- Ini secara tidak langsung telah dapat mengurangkan kos ‘Bantuan Haji’ TH.
-
TH TRAVEL & SERVICES SDN. BHD.
- Kewujudan THTS adalah merujuk kepada seksyen 4 (d) Akta 535 Lembaga Tabung Haji 1995 yang membenarkan menubuhkan syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 bagi menjalankan apa-apa aktiviti yang dirancang atau diusahakan oleh TH.
- Perkhidmatan pakej haji merupakan aktiviti utama TH. THTS menggunakan perkhidmatan ini sebagai satu peluang dengan menawarkan perkhidmatan haji secara pakej mulai tahun 1985.
- THTS menawarkan perkhidmatan Pakej Haji dalam tiga kategori pakej iaitu:
- Ekonomi
- Sederhana; dan
- Premium.
- Tujuannya adalah untuk membolehkan jemaah haji dari pelbagai peringkat dan status ekonomi yang mahu menggunakan pakej haji, memilih perkhidmatan pakej haji THTS mengikut kemampuan masing-masing.