Program CSR Zakat
Sebagai sebuah organisasi Islam prihatin, TH membuat pembayaran zakat ke Pusat-pusat Zakat Negeri di 14 buah negeri di Malaysia pada suku tahunan pertama setiap tahun. TH juga turut melaksanakan program membuat pembayaran zakat secara terus kepada asnaf yang layak di seluruh negara melalui pelaksanaan Program CSR Zakat seperti Ehsan, Iqra, Mobiliti dan Ikhtiar.
Program Ehsan
Projek ini merupakan program bantuan kewangan untuk golongan asnaf yang memerlukan seperti warga emas, ibu/ bapa tunggal dan golongan kurang upaya, semasa bulan Ramadan. Projek ini bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan ini semasa membuat persediaan menyambut Syawal.
Program Iqra'
Program Iqra’ TH adalah program pembangunan modal insan yang bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan dan keperluan kepada pelajar asnaf yang sedang melanjutkan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi di beberapa universiti awam dan institusi terpilih seluruh negara.
Sumbangan ini diharap dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung pelajar serta memberikan motivasi kepada pelajar terbabit untuk menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang.
Program Mobiliti
Program Mobiliti dilancarkan pada tahun 2016 bertujuan membuat agihan kenderaan dwi- fungsi yang boleh digunakan sebagai van penumpang atau van jenazah kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara.
Program Mobiliti ini diperkenalkan bagi membantu masjid-masjid yang memerlukan van penumpang/jenazah dan mampu menyelenggara kenderaan untuk menyempurnakan tuntutan fardu kifayah bagi manfaat dan kemaslahatan kariah setempat seperti urusan pengebumian jenazah serta kemudahan pengangkutan kepada ahli kariah untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan seperti kelas-kelas fardu ain dan sebagainya.
Program Ikhtiar
Program Ikhtiar yang dirintis pada tahun 2015 bertujuan untuk membantu golongan asnaf melalui suntikan modal perniagaan. Bantuan suntikan modal membolehkan usahawan asnaf memulakan dan meningkatkan perniagaan berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Ia juga membantu usahawan asnaf meningkatkan sumber pendapatan tambahan yang membolehkan mereka menaiktaraf hidup dan sosio ekonomi sedia ada.
Program A'fiat
Program A’fiat merupakan salah satu program zakat TH yang bertujuan untuk menyediakan peralatan perubatan kepada hospital atau penyedia perkhidmatan perubatan terpilih di seluruh negara. Sejak 2012, Program Afiat TH telah memperuntukkan lebih RM6 juta untuk keperluan pesakit-pesakit di seluruh negara seperti katil ICU, mesin hemodialisis dan alat-alat perubatan terpilih yang lain.