Tentang CSR
TH berkongsi kejayaan yang diperolehi bersama pihak berkepentingan melalui perlaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Ia adalah bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam dan komitmen TH sebagai sebuah organisasi prihatin, dengan misi untuk meningkatkan status sosioekonomi umat Islam di Malaysia.
Program CSR TH telah memberi manfaat kepada ribuan pihak berkepentingan di seluruh negara, sejajar dengan aspirasi untuk berkongsi kejayaan dengan semua.
Program CSR TH terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu Program CSR Zakat dan Sumbangan.
Polisi CSR
Polisi ini menggariskan hala tuju dan fungsi CSR TH. Polisi ini juga bertujuan untuk menggaris dan menekankan prinsip tanggungjawab korporat yang harus didukung oleh semua peringkat anggota termasuk pengurusan dan Lembaga, ke arah mencapai praktis perniagaan yang telus, berintegriti, bertanggungjawab dan lestari, bagi memberi impak positif yang menyeluruh kepada masyarakat dan pihak berkepentingan.
Kenyataan Polisi
TH mendukung dan mengambil pendekatan tanggungjawab korporat kami berdasarkan konsep Menambah baik dan Melestarikan Kehidupan (Enhancing and Sustaining Life).
TH beriltizam untuk menyumbang ke arah kelestarian pembangunan pihak berkepentingan khususnya para anggota, Jemaah Haji Malaysia, Pendeposit dan Komuniti Islam dari golongan asnaf miskin, kelainan upaya dan memerlukan, tanpa mengenepikan aspek integriti, etika kerja, komuniti, sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Iltizam ini diterjemahkan melalui aspirasi untuk merealisasikan Visi dan Misi TH dengan menerapkan tekad dan komitmen yang mendalam terhadap operasi kerja harian dan program-program khas yang dirangka di peringkat pengurusan dan anggota.
TH juga berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman di kalangan setiap anggotanya melalui Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), Peraturan-peraturan Tatatertib, Polisi-polisi Integriti TH, Manual Kuasa Kewangan serta Manual Pengurusan Pejabat dan Tadbir Urus, sebagai panduan perlakuan dan tindakan dalam melaksanakan aktiviti dan proses harian.
TH mendukung tanggungjawab korporat sebagai:
- Kaedah strategik untuk menyumbang secara positif kepada kejayaan operasinya;
- Sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk membina imej positif melalui kepercayaan dan keyakinan masyarakat umum khususnya komuniti Islam terhadap TH;
- Inisiatif berterusan untuk mewujudkan kerjasama di kalangan anggota dan memupuk rasa bangga serta komitmen terhadap TH.