Penutupan Akaun
Penutupan Akaun TH boleh dilakukan pada bila-bila masa oleh pendeposit TH, Penjaga Sah (berdasarkan rekod dalam sistem TH), Penama Pemegang Amanah dan dengan arahan Pihak Berkuasa.
Penutupan akaun simpanan TH boleh berlaku dalam lima (5) keadaan seperti berikut:
- Arahan Pendeposit / Penjaga Sah (berdasarkan rekod dalam sistem TH).
- Pendeposit Meninggal Dunia.
- Pendeposit Uzur Koma / Tidak Kompeten / Tidak Berupaya / Nyanyuk / OKU (Tidak Waras).
- Arahan Pihak Berkuasa (Mahkamah / Jabatan Insolvensi / Polis Diraja Malaysia (PDRM) / Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)).
- Akaun Tidak Aktif (DORMANT).
NOTA :
Untuk makluman, Penutupan Akaun TH TIDAK BOLEH dilakukan di pejabat-pejabat Rakan Strategik TH.
Arahan Pendeposit / Penjaga Sah
Akaun yang boleh ditutup :
- Akaun Dewasa
- Akaun Kanak-kanak
Dokumen yang perlu dibawa :
- Dokumen Pengenalan Diri:
MyKad, MyKid, MyTentera, Sijil Kelahiran, Sijil Anak Angkat, dan Pasport Antarabangsa (dokumen rasmi sebagai pengesahan butir-butir peribadi seseorang).
Proses penutupan akaun TH di kaunter TH adalah seperti berikut :
- Pendeposit / Penjaga Sah (berdasarkan rekod dalam sistem TH) perlu hadir ke kaunter TH.
- Membawa bersama-sama dokumen yang lengkap.
- Kaedah bayaran penutupan akaun adalah seperti berikut:
- Secara tunai bagi jumlah tidak melebihi RM10,000.00 .
- Melalui pindahan Akaun TH ke Akaun TH lain.
- Secara pindahan Telegrafik.
- Derma kepada Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia (TKJHM).
- Melengkapkan Borang JP011: Borang Permohonan Penutupan Akaun.
Pendeposit Meninggal Dunia
Tuntutan Pusaka
Penutupan akaun pendeposit (si mati) boleh dilakukan oleh :
- Penama.
- Pemegang Amanah.
- Waris mengikut Hukum Syarak / Pihak Lain dengan mengemukakan Surat Kuasa / Perintah (Mahkamah Syariah / Mahkamah Sivil / Pejabat Tanah Daerah (Bicara Kecil) / Pejabat Probate / Amanah Raya Berhad).
Proses penutupan akaun TH si mati adalah seperti berikut :
- Penama atau Pemegang Amanah atau Waris perlu hadir ke kaunter TH.
- Membawa bersama-sama dokumen yang lengkap.
- Melengkapkan Borang :
- JP005: Borang Permohonan Pengeluaran Pusaka;
- JP006: Borang Akuan Waris Pengeluaran Pusaka.
- Kaedah pembayaran pusaka:
- Secara kredit ke Akaun TH pemohon.
- Melalui cek (terhad kepada institusi / syarikat / bukan warganegara Malaysia / individu bankrap).
- Derma kepada Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia (TKJHM).
Dokumen yang diperlukan:
- Dokumen Pengenalan Diri Pemohon/Waris/Pentadbir/Surat permohonan (jika institusi/syarikat) yang melengkapkan Borang JP005/JP006.
- Sijil Kematian Pendeposit / Laporan Kematian Luar Negara (yang dikeluarkan oleh JPN).
- Surat Kuasa/Perintah (jika pendeposit tidak membuat penamaan).
- Dokumen Pengenalan Diri Penjaga Sah (jika penama/pemegang amanah/waris di bawah umur 18 tahun).
- Sijil Kelahiran (jika penama / pemegang amanah / waris di bawah umur 18 tahun).
- Sijil Kematian/Laporan Kematian Luar Negara bagi penama/pemegang amanah/waris yang telah meninggal dunia.
- Sijil Nikah suami/isteri simati (diperlukan sekiranya baki akaun RM1,000.00 dan ke bawah dan tiada penama/pemegang amanah/surat kuasa/perintah).
- Sijil Kelahiran waris bagi pembuktian waris yang berhak berdasarkan Hukum Syarak (diperlukan sekiranya baki akaun RM1,000.00 dan ke bawah dan tiada penama/pemegang amanah/surat kuasa/perintah).
- Surat Kuasa/Perintah (Mahkamah Sivil/Mahkamah Syariah/Pejabat Tanah/Daerah (Bicara Kecil)/Pejabat Probate sekiranya Penama/Waris dalam keadaan Koma/Tidak Kompeten/Tidak Berupaya (Incapacitated)/Nyanyuk/ OKU (Tidak Waras).
- Surat Akuan Bersumpah (Akta Akuan Berkanun 1960).
- Lain-lain dokumen sokongan (sekiranya diperlukan oleh TH).
Tuntutan Hibah Amanah
Penutupan akaun Pemberi Hibah Amanah (si mati) boleh dilakukan oleh :
- Penerima Hibah Amanah / *Penjaga Sah yang dinamakan di dalam dokumen Hibah Amanah TH.
Proses tuntutan Hibah Amanah adalah seperti berikut :
- Penerima Hibah Amanah / *Penjaga Sah perlu hadir di mana-mana kaunter TH.
- Membawa bersama-sama dokumen yang lengkap.
- Melengkapkan Borang:
- JP035 : Borang Tuntutan Pengeluaran Hibah Amanah TH / *Penamaan.
- Kaedah Pembayaran :
- Kredit ke akaun TH penerima Hibah Amanah / Penjaga Sah.
- Melalui cek (terhad kepada institusi / syarikat / bukan warganegara Malaysia / individu bankrap).
- Secara Pindahan Telegrafik.
- Derma kepada Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia (TKJHM).
Dokumen yang perlu dibawa adalah seperti berikut:
- Sijil Kematian Pemberi Hibah Amanah / Laporan Kematian Luar Negara (yang dikeluarkan oleh JPN).
- Dokumen Pengenalan Diri Penerima Hibah Amanah / Penjaga Sah / Penama.
Pendeposit Uzur Koma/ Tidak Kompeten/Tidak Berupaya/ Nyanyuk / Oku (Tidak Waras)
Penutupan akaun simpanan TH berlaku dalam keadaan Pendeposit Uzur Koma / Tidak Kompeten / Tidak Berupaya / Nyanyuk / OKU (Tidak Waras).
Penutupan akaun pendeposit tersebut boleh dilakukan oleh waris.
Dokumen yang diperlukan:
- Surat rasmi permohonan yang lengkap daripada waris.
- Salinan dokumen pengenalan diri pendeposit dan waris yang memohon (hendaklah disahkan oleh anggota TH).
- Surat perakuan doktor:
- Hospital Kerajaan / Swasta; atau
- Klinik Kerajaan / Swasta.
- Borang Jaminan Gantirugi (JP025) yang telah setem oleh waris yang membuat permohonan.
- Cap jari waris yang memohon di atas salinan dokumen pengenalan diri.
- Persetujuan semua waris dan Penama secara bertulis (salinan dokumen pengenalan diri perlu disertakan).
- Sekiranya pemohon merupakan waris tunggal, dapatkan pengesahan salah satu yang berikut:
- Penghulu.
- Ketua Masyarakat (Sabah / Sarawak).
- Pesuruhjaya Sumpah.
- Lawatan ke hospital / rumah pendeposit oleh 2 orang anggota TH yang telah diberi kuasa.
- Mengambil gambar keadaan semasa pendeposit dengan kebenaran waris / hospital.
- Sekiranya waris / pihak hospital tidak membenarkan gambar diambil, buat pengesahan dalam laporan perakuan lawatan.
- Sediakan laporan perakuan lawatan dan ditandatangani oleh kedua-dua anggota TH yang membuat lawatan.
- Hantar permohonan ke Ibu Pejabat untuk kelulusan.
Nota:
Bagi kategori ini :
- Bayaran hanya dibuat melalui Pindahan Simpanan TH ke Akaun TH sahaja.
- Cap jari pendeposit tidak perlu diambil.
- Tidak perlu mengisi Borang JP.
- Waris bermaksud waris di bawah Hukum Syarak dan terdiri daripada individu yang berumur 18 tahun dan ke atas.
- Surat rasmi permohonan yang lengkap daripada waris yang memohon mestilah mempunyai butir-butir berikut:
- Nama dan Alamat pemohon.
- Tarikh.
- Nama pendeposit.
- Nombor Dokumen Pengenalan Diri pendeposit dan pemohon.
- Nombor akaun TH pendeposit dan pemohon.
- Jumlah amaun pengeluaran ataupun tutup akaun.
- Tujuan pengeluaran dibuat.
- Tandatangan pemohon.
- Nombor telefon.
Arahan Pihak Berkuasa
Pihak Berkuasa (Mahkamah / Jabatan Insolvensi / Polis Diraja Malaysia (PDRM) / Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)) boleh mengarahkan TH menutup akaun pendeposit tertentu dengan mengeluarkan / mengemukakan Surat Perintah Mahkamah.
Akaun Tidak Aktif (DORMANT)
Akaun Pendeposit yang tidak mempunyai sebarang transaksi melebihi 7 tahun akan diklasifikasikan sebagai Akaun Tidak Aktif, selaras dengan Peraturan-Peraturan dan Akta Tabung Haji (1995).
Akaun Tidak Aktif tidak akan menerima agihan Hibah Tahunan mulai tahun 2018.
Tabung Haji dikecualikan daripada menyerahkan wang Akaun Tidak Aktif kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut. Sehubungan itu, Pendeposit atau waris masih boleh membuat tuntutan ke atas baki simpanan akaun yang berstatus tidak aktif pada bila-bila masa dengan mengemukakan dokumen yang sewajarnya sepertimana yang ditetapkan oleh TH.
Lokasi Penutupan Akaun
Penutupan akaun TH boleh dilakukan di semua kaunter TH :
- Pejabat Negeri
- Pejabat Cawangan
- UTC
- Pusat Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Center - IFiC)
- Pusat Perkhidmatan (tidak melibatkan bayaran secara tunai)
- TH Komuniti (bayaran secara tunai tidak melebihi RM2,000)