KUALA LUMPUR, 14 November 2021 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memperkenalkan satu lagi inisiatif perkhidmatan dalam talian baru yang dikenali sebagai THiJARI Biz khusus untuk memudahkan para majikan. YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary hadir merasmikan inisiatif digitalisasi terbaharu TH ini.
YB Datuk Ahmad Marzuk berkata, THiJARI Biz membantu para majikan memastikan urusan potongan gaji bulanan pekerja ke akaun TH dapat dibuat dengan lebih mudah, teratur dan sistematik. Di samping itu, ia juga mempercepatkan proses pengkreditan ke dalam akaun TH yang ditetapkan oleh pekerja.
“THiJARI Biz diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif transformasi digital TH ke arah penambahbaikan perkhidmatan dalam talian dan automasi proses kerja supaya perkhidmatan TH lebih cekap dan efisyen,” tambah beliau.
Pada sebelum ini, urusan potongan gaji diuruskan oleh TH secara manual apabila butiran dan bayaran caruman diterima daripada pihak majikan samada melalui emel, surat atau bersemuka di cawangan TH. Proses pengkreditan potongan gaji dilakukan secara manual dan mengambil masa antara tujuh (7) hingga empat belas (14) hari.
Dengan pelaksanaan THiJARI Biz, segala urusan berkaitan butiran dan bayaran potongan gaji akan diuruskan secara kendiri oleh pihak majikan menerusi portal dalam talian dan pengkreditan potongan gaji akan hanya mengambil masa satu (1) hari bekerja sahaja sekiranya maklumat adalah lengkap dan akaun adalah aktif. Selain itu, para majikan boleh mengemaskini maklumat profil syarikat, pentadbir (Admin) dan rekod pekerja dari semasa ke semasa.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sro Amrin Awaluddin berkata, THiJARI Biz boleh diakses melalui pautan www.thijari.com.my/thijaribiz dan beliau percaya ia dapat memudahkan proses potongan gaji pekerja oleh majikan. Tempoh pengkreditan ke dalam akaun TH pekerja juga adalah lebih singkat. Program automasi ini dijangka akan menarik lebih ramai pekerja sektor awam dan swasta untuk membuka akaun dan menabung sedikit demi sedikit secara berterusan melalui potongan gaji bagi memenuhi impian menunaikan haji.
“Dengan pengenalan THiJARI Biz, transaksi potongan gaji pekerja boleh dilakukan oleh majikan pada bila-bila masadengan selamat dan pada masa yang sama akan diproses dengan lebih efisyen. Semakan transaksi juga boleh dilakukan secara dalam talian oleh majikan manakala pekerja pula boleh menyemak rekod pengkreditan melalui aplikasi THiJARI masing-masing,” tambah beliau lagi.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan THiJARI Biz atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan TH, orang ramai boleh merujuk di laman web rasmi, www.tabunghaji.gov.my atau terus menghubungi talian THCC di 03-6207 1919.
-Tamat-
SIARAN AKHBAR TH - POTONGAN GAJI MENERUSI THiJARI Biz (FINAL)- 14122021_0.pdf