KUALA LUMPUR, 11 Januari 2022: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pelantikan Mustakim Mohamad sebagai Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan yang baharu berkuatkuasa 16 Disember 2021.
"Pelantikan Mustakim ini mengambil kira pengalaman beliau yang telah berkhidmat lebih 18 tahun di TH, meliputi bidang pengurusan kewangan, pelaburan dan juga operasi. Pihak Pengurusan yakin kepakaran beliau dapat mengukuhkan lagi pentadbiran kewangan sekaligus membantu Kumpulan TH menghadapi persekitaran ekonomi yang sangat mencabar berikutan kesan wabak Covid-19," kata Dato' Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.
Mustakim telah memangku jawatan Ketua Pegawai Kewangan susulan peletakan jawatan Datuk Merina Abu Tahir.
Sebelum itu, beliau merupakan Pengarah Eksekutif Operasi dan pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TH pada Ogos 2018 sehingga April 2020.
Mustakim merupakan lulusan Sarjana Kewangan dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia dan juga seorang akauntan bertauliah yang diiktiraf
Association of Chartered Certified Accountants (ACCA). Beliau mempunyai lebih 22 tahun pengalaman bekerja khususnya dalam bidang pengurusan kewangan dan auditan di institusi korporat multinasional.
TH turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Merina Abu Tahir yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Pegawai Kewangan sejak 5 Februari tahun 2020 atas komitmen dan sumbangan yang diberikan kepada TH.
-Tamat
SIARAN AKHBAR TH - MUSTAKIM DILANTIK PENGARAH EKSEKUTIF KEWANGAN KUMPULAN TH.pdf