KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2022 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan Pelan Transformasi Strategik HIJRAH24 yang bertujuan memastikan institusi pengurusan haji negara terus kekal berdaya saing dan bersedia untuk masa depan demi kesejahteraan pendeposit, jemaah haji dan umat Islam umumnya.
Majlis Pelancaran HIJRAH24 itu telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob di Menara TH, Kuala Lumpur.
YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri berkata TH sebagai antara model pengurusan haji terbaik dunia perlu sentiasa bersedia melakukan perubahan agar terus kekal dan berkesan, dengan mengambil langkah berani untuk mengukuhkan kedudukannya kerana keperluan pemegang taruh sentiasa berubah mengikut masa.
Beliau yakin TH telah mengambilkira semua aspek penting bagi melonjak semula operasi serta pelaburannya untuk memastikan kesinambungan dan kecemerlangan TH di masa hadapan.
Pengerusi TH, Tan Sri Azman Hj Mokhtar menerangkan bahawa HIJRAH24 mengandungi 24 inisiatif yang akan dilaksanakan secara bersama oleh warga TH sepanjang tiga (3) tahun bermula tahun 2022 sehingga tahun 2024 berdasarkan lima (5) teras utama iaitu:
- Pengurusan haji yang cemerlang.
- Menjana pulangan dan lebihan aset yang berpatutan dan mampan.
- Meningkatkan simpanan yang stabil melalui perkhidmatan yang baik, beramanah dan mesra pelanggan.
- Memupuk dan membangunkan modal insan terbaik (Best in-Class)
- Menerapkan prinsip Maqasid Syariah sebagai objektif utama melalui tadbir urus yang baik
“HIJRAH24 ini sekaligus dapat mengukuhkan aspek tadbir urus serta kawalan dalaman untuk melindungi TH dan pendepositnya, selain menguatkan kecekapan operasi serta memberi keuntungan dan pulangan yang mampan kepada pendeposit. Kesemua inisiatif ini memastikan, insyaAllah TH kekal lestari hingga ke masa hadapan,” jelas beliau.
Pelan Transformasi HIJRAH24 menetapkan enam sasaran utama untuk dicapai oleh TH pada penghujung 2024 iaitu:
- Peningkatan saiz dana berjumlah RM100 bilion (berbanding RM86.5 bilion pada 31 Mac 2022).
- Lebih 50% daripada penduduk Islam negara menjadi pendeposit TH.
- Keuntungan boleh agih disasar yang berpatutan yang antaranya melebihi kadar perbankan Islam.
- Peningkatan pengguna digital THiJARI kepada lebih 4 juta.
- Indeks kepuasan pelanggan melebihi 90%; dan
- Indeks kepuasan penglibatan warga kerja melebihi 75%.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin, berkata, “Seluruh warga TH komited untuk melaksanakan HIJRAH24 dengan bersungguh-sungguh, sistematik dan menyeluruh sebagai pemangkin membawa TH ke satu tahap baharu yang lebih kukuh dan mampan”. Pada majlis tersebut YAB Dato’ Sri Ismail Sabri turut meluangkan masa beramah mesra serta berbuka puasa bersama-sama warga TH dan menyampaikan sumbangan kepada 30 anak-anak yatim yang turut hadir.
-Tamat-