KUALA LUMPUR, 28 April 2023 – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan Agihan Keuntungan tahun kewangan 2022 pada kadar 3.10 peratus setelah mengambil kira zakat 2.57 peratus. Agihan Keuntungan ini melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion dan akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH.
Agihan Keuntungan ini adalah kompetitif mengambil kira antara lainnya kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34 peratus dan zakat telah dilunaskan bagi pihak pendeposit.
Pengumuman Agihan Keuntungan tahun 2022 telah dibuat oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Naim Mokhtar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), pada sidang media di TH hari ini.
“TH telah mengambil pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati berlandaskan alokasi aset strategik untuk menghadapi persekitaran yang tidak menentu. Alhamdulillah, usaha ini telah membantu dalam penjanaan hasil bagi memastikan kadar agihan yang berpatutan bagi tahun kewangan 2022,” kata Tan Sri Azman Hj Mokhtar, Pengerusi TH.
Pengiraan Agihan Keuntungan tahunan 2022 adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang disimpan sepanjang tahun, iaitu sebagaimana pengiraan tahun-tahun sebelum ini.
Agihan Keuntungan 2022 adalah setelah TH melunaskan zakat sebanyak RM97 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM1.27 bilion sehingga kini.
Para pendeposit boleh menyemak Agihan Keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pukul 12 tengah hari, Sabtu, 29 April 2023 menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula jam 8 malam, Jumaat, 28 April 2023 sehingga jam 12 tengah hari, Sabtu, 29 April 2023, bagi melancarkan urusan pengkreditan Agihan Keuntungan.