KUOTA |
Bagaimanakah TH akan memilih Bakal Haji (BH) sekiranya kuota dikurangkan? |
- Kuota Haji yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia bagi Musim Haji 1443H/2022M ialah sebanyak 14,306 orang.
- Kuota Haji Malaysia bagi musim 1443H/2022M adalah 45% dari kuota rasmi 31,600 pada tahun 2019.
- Pengurangan Kuota Haji Malaysia adalah lanjutan keputusan oleh pihak Kerajaan Arab Saudi untuk menghadkan kepada hanya 1 juta Jemaah Haji bagi Musim Haji tahun 1443H/2022M dan dengan nisbah 85% dari nya dari luar Arab Saudi.
|
Sekiranya kuota dikurangkan dan saya tidak terpilih meskipun diberi keutamaan, adakah saya masih diberikan keutamaan untuk tahun 2022? |
- Bagi mereka yang merayu untuk tunai Haji pada tahun ini, pertimbangan rayuan adalah berdasarkan syarat-syarat dan kriteria yang ditetapkan termasuk jumlah kuota Haji yang diluluskan oleh Kerajaan Arab Saudi serta syarat-syarat lain yang berkaitan dengan peraturan Haji dan SOP Haji yang terkini. Oleh kerana jumlah kuota yang terhad, rayuan mahram akan diberi keutamaan.
- Pemilihan bakal haji bagi tahun 2023 akan bergantung kepada kuota yang di beri oleh Kerajaan Arab Saudi dan kekosongan yang ada.
|
SYARAT TUNAI HAJI OLEH KERAJAAN ARAB SAUDI |
Apakah kriteria yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk Bakal Haji (BH) menunaikan Haji? |
- Semua Bakal Haji tahun ini perlu melengkapkan tiga dos vaksin Covid-19 yang diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi. Ia juga adalah selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.
- Bakal Haji haruslah berumur 64 tahun dan ke bawah seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
- Bakal Haji perlu melaksanakan ujian PCR dengan status negatif 72 jam sebelum penerbangan hajinya berlepas. Walaubagaimanapun, bagi Bakal Haji Malaysia, tempoh pelaksanaan ujian PCR adalah ditetapkan pada tempoh 48 jam sebelum waktu penerbangan. Ini mengambilkira urusan lapor diri dan kemungkinan kelewatan waktu berlepas.
- Selain itu, setiap Bakal Haji juga perlu lulus pemeriksaan kesihatan dengan kriteria dan garis panduan kesihatan yang baharu sebelum dibenarkan berangkat ke Tanah Suci. Bakal Haji perlu berada dalam keadaan yang sihat.
|
Adakah Bakal Haji (BH) perlu mendapatkan suntikan vaksinasi selain vaksin Covid-19? |
- Vaksin meningococcal - Bakal Haji wajib mendapakan suntikan ini yang diberikan secara percuma setelah lulus pemeriksaan kesihatan di fasiliti kesihatan Kerajaan (Kementerian Kesihatan Malaysia)
- Namun, jika Bakal Haji ingin mendapatkan suntikan wajib meningococcal ini di fasiliti kesihatan swasta, kos vaksin ini perlu ditanggung oleh Bakal Haji sendiri.
- Bagi suntikan vaksin tambahan pneumococcal dan influenza - kedua-dua vaksin ini amat digalakkan sebagai perlindungan tambahan dan ianya hanya boleh diperolehi di fasiliti kesihatan swasta. Kos vaksin-vaksin ini perlu ditanggung oleh Bakal Haji sendiri.
|
Adakah Bakal Haji (BH) diberi keutamaan untuk suntikan vaksin covid? |
- Selaras dengan saranan Kerajaan, setiap rakyat Malaysia termasuk Bakal Haji perlu mendaftar melalui saluran yang telah ditetapkan seperti aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
- Keutamaan suntikan vaksin Covid-19 ini adalah berdasarkan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
|
Adakah Arab Saudi menerima semua jenis suntikan vaksin? |
- Buat masa ini, Kerajaan Arab Saudi hanya menerima 10 jenis vaksin Covid-19 sahaja seperti berikut:
- Pfizer-BioNtech
- Moderna
- Oxford/AstraZeneca
- Janssen
- Covovax
- Nuvaxovid
- Sinopharm
- Sinovac
- Covaxin
- Sputnik V
|
Bagaimanakah persediaan TH sekiranya ada Jemaah Haji yang dijangkiti Covid- 19 di Tanah Suci? |
- TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menjaga kebajikan dan kesihatan setiap jemaah haji.
- TH dan KKM telah menetapkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) di Tanah Air dan Tanah Suci untuk dipatuhi oleh setiap jemaah haji dan juga Petugas Haji Malaysia.
- Walau bagaimanapun, pengurusan kes-kes kesihatan dan Covid-19 di Tanah Suci turut tertakluk kepada protokol dan arahan kesihatan Kerajaan Arab Saudi.
|
Adakah TH akan menambah petugas kesihatan bagi membendung Covid-19 di kalangan jemaah? |
- TH sentiasa bekerjasama baik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan dan petugas Rombongan Perubatan Tanah Suci yang terbaik dan mencukupi.
- Penambahan petugas Rombongan Perubatan adalah tertakluk kepada protokol dan arahan kesihatan Kerajaan Arab Saudi.
- Walaubagaimanapun, petugas Rombongan Perubatan sedia ada yang telah dipilih pada tahun ini berpengalaman dalam pengurusan kes CoViD-19
|
Adakah Bakal Haji yang mempunyai penyakit kronik dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini? |
- Bakal Haji yang menghidap penyakit kronik yang berisiko tinggi dan tidak stabil tidak memenuhi syarat wajib haji (istito’ah kesihatan)
- Hanya individu yang mempunyai sakit kronik yang telah disahkan stabil dan lulus pemeriksaan kesihatan dibenarkan untuk menunaikan haji pada tahun ini
|
Adakah Bakal Haji perlu menjalani ujian saringan dan adakah perbelanjaan ujian saringan ini di tangungg oleh TH? |
- Bakal Haji perlu menjalani ujian saringan RT-PCR Covid-19 54 jam sebelum penerbangan di mana-mana klinik kerajaan atau fasiliti kesihatan swasta.
- Perbelanjaan ujian saringan tersebut adalah ditanggung oleh Bakal Haji sekiranya dijalankan di fasiliti swasta.
|
SURAT TAWARAN |
Bilakah surat tawaran akan dikeluarkan? |
- Surat tawaran Haji 1442H/2021M dikeluarkan bermula hari Isnin ini pada 25 April 2022 dan surat ini juga boleh diperolehi melalui aplikasi THiJARI.
- Bakal Haji terpilih diberi tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh surat untuk menjawab surat tawaran Tunai Haji tahun ini.
- Diminta semua Haji bekerjasama dengan TH menyegerakan semua urusan supaya dapat menjawab surat tawaran ini setuju ataupun tidak dalam tempoh tujuh hari bekerja. Disarankan Bakal Haji untuk memuat turun aplikasi THiJARI untuk memberi maklum balas melalui digital.
|
KOS & BAYARAN HAJI |
Adakah bayaran haji kekal tahun ini? |
- Bayaran Haji untuk Jemaah haji Muassasah tunai haji kali pertama seperti yang dimaklumkan untuk tahun ini adalah RM10,980 untuk kumpulan B40 manakala RM12,980 untuk kumpulan bukan B40.
- Bagi bakal haji muasassah yang pernah tunai haji perlu bayar penuh bayaran haji tahun semasa iaitu RM25,540 seorang
|
Berapakah peningkatan kos haji setakat ini dengan norma baru disebabkan Covid-19? |
- Kos Haji telah meningkat tahun ini berbanding tahun lepas disebabkan oleh faktor-faktor di luar kawalan TH seperti pengenalan pelbagai cukai baharu termasuk kenaikan Value-added Tax (VAT) dari 5% kepada 15%, kadar pertukaran mata wang asing, caj visa haji, kadar inflasi di Arab Saudi, dan pembangunan di Makkah dan Madinah.
|
LOGISTIK |
Apakah perubahan ketara yang bakal di hadapi Jemaah Haji tahun ini di Tanah Suci? Dari segi penginapan, logistik dan ibadat haji? |
- Berdasarkan pengamatan protokol pelaksanaan haji dua tahun lepas dan umrah semasa, jemaah haji dinasihatkan untuk senantiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan dan kebersihan.
- Selain aplikasi THiJARI, Bakal Haji perlu memuat turun aplikasi Arab Saudi, antaranya ialah Tawakkalna dan Eatmarna untuk memudahkan urusan ibadah mereka di Tanah Suci.
|
IBADAT |
Berapa lamakah Jemaah haji akan berada di Tanah Suci? |
- Tempoh jemaah haji berada di Tanah Suci dalam tempoh 42 hingga 45 hari
|
Apakah cara mengerjakan haji yang disarankan TH untuk para jemaah haji tahun ini? |
- TH tidak menetapkan cara tertentu untuk melaksanakan ibadat haji.
- Jemaah Haji boleh memilih cara mengerjakan haji (Tamattu’/ Ifrad/ Qiran) mengikut tarikh ketibaan di Tanah Suci serta peraturan berkaitan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
- Para Bakal Haji hendaklah mengikuti kursus haji untuk mendapat ilmu haji yang sahih dan matlumat urusan haji terkini.
|
Bagaimanakah perlaksanaan Kursus Perdana Haji pada tahun ini? |
- Kursus Perdana Haji sedang dirancang untuk diadakan secara dalam talian.
- Pihak TH akan membuat jemputan untuk hadir ke kursus ini bagi mereka yang terpilih.
|
PAKEJ HAJI |
Adakah syarikat-syarikat swasta masih menguruskan pakej haji para tahun ini? |
- Hanya Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan oleh TH sahaja boleh menawarkan pakej haji berdasarkan Akta Tabung Haji. Tahun ini, TH telah mengeluarkan lesen kepada sejumlah 21 syarikat. TH juga telah mengumumkan senarai ini pada 25 Mac 2021 dan ia boleh didapati di laman web TH
|