PULAU PINANG, 26 Ogos 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Zakat TH berjumlah RM3,447,686.44 bagi tahun kewangan berakhir 2019 kepada Zakat Pulau Pinang dalam satu majlis ringkas di Seri Mutiara, kediaman Rasmi Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang telah berkenan menerima bayaran Zakat TH daripada YBhg. Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Pengarah Eksekutif (Haji) TH. Bayaran zakat bagi negeri Pulau Pinang ini mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2018 (RM3,446,420.49).
Pada tahun ini, TH memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan Program Zakat yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui penganjuran program berbentuk pendidikan,kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif ini juga diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd Rahman, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang (ZPP); Tuan Haji Amran Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP; YB Dato’ Abdul Razak bin Jaafar , Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Tuan Haji Mohamad bin Abas, Pengarah TH Negeri Pulau Pinang; ahli-ahli lembaga pengarah ZPP dan anggota-anggota TH.