Tunku Temenggong Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Puan Temenggong, Yang Teramat Mulia Datin Seri DiRaja Puan Sri’ Dato’ Seri Tengku Maliha Binti Tengku Ariff, berkenan berangkat beramah mesra serta mengucapkan selamat jalan kepada 279 orang kumpulan ke-3 Jemaah Haji dari negeri Kedah di TH Hotel dan Pusat Konveksyen Alor Setar, Kedah.
Para jemaah berkenaan diterbangkan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah ke Madinah dengan menggunakan pesawat MH8010 yang dijadualkan berlepas pada jam 12.30 tengahari dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah pada jam 9.00 malam (waktu Malaysia) atau jam 4.00 petang (waktu Saudi).
Pada tahun ini, TH menyediakan 5 penerbangan terus dari Alor Setar ke Tanah Suci, membawa seramai lebih 1,000 jemaah dari negeri Kedah.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, Pengerusi TH, YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Lembaga Pengarah TH, Tan Sri Dato’ Paduka Badruddin Amiruldin.