KUALA LUMPUR, 12 NOVEMBER 2019 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Program Iqra’ TH tahun 2019 kepada para pelajar berstatus asnaf yang sedang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Program ACCA (Association of Chartered Certified Accountants). Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH bertempat di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur.
Bagi Program Iqra’ TH tahun ini, TH telah bekerjasama dengan Pusat Zakat dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti untuk menyerahkan sumbangan keseluruhan sebanyak RM4,500,000.00 kepada enam (6) buah IPTA terpilih sekitar kawasan Lembah Klang untuk manfaat lebih daripada 2,200 pelajar asnaf.
TH juga julung-julung kalinya bekerjasama dengan MyPac (Malaysia Professional Accountancy Centre) dengan memberikan penajaan kepada 10 orang pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda yang berstatus asnaf untuk menjalani Program ACCA sepenuh masa dan separuh masa. TH memperuntukkan sebanyak RM454,032.90 bagi program ini yang bertujuan untuk meningkatkan bilangan Akauntan Profesional Bumiputera (BPA) Islam yang mempunyai kelayakan perakaunan professional.
“Objektif utama Program Iqra’ TH adalah memberikan bantuan pendidikan bagi menampung perbelanjaan pengajian pelajar asnaf daripada keluarga B40 untuk membayar yuran pengajian, pembiayaan asrama, dewan makan, kos sara diri dan perbelanjaan diri masing-masing. TH mengambil inisiatif ini dengan bekerjasama dengan beberapa buah universiti tempatan dan MyPAC bagi meringankan beban para pelajar asnaf yang berpotensi pada masa hadapan,” kata Tuan Haji Nik Hasyudeen Yusoff.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Tuan Haji Hizamuddin Jamalluddin, Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Staf TH; wakil-wakil pengurusan universiti terpilih, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MyPAC (Malaysia Professional Accountancy Centre) serta anggota TH.