ALOR SETAR, 17 Julai 2018: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah hari ini berkenan menyempurnakan majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji dari Negeri Kedah ke Baitullahhilharam bagi Musim Haji 1439H/2018M yang berlangsung di TH Hotel & Convention Centre, Alor Setar, Kedah.
Penerbangan KT06K yang membawa 150 jemaah dari Alor Setar ini dijadualkan berlepas ke KLIA pada 9.46 malam dan seterusnya ke Madinah pada pukul 1.45 pagi.
Penerbangan ini dijangka tiba pada pukul 5:45 pagi keesokkannya (waktu Saudi).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah disertai dif-dif kehormat bersalaman dan mengambil kesempatan mengucapkan selamat jalan kepada para bakal jemaah kerana terpilih menjadi tetamu Allah pada musim haji ini.
Para bakal jemaah dinasihatkan agar memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut dengan sempurna agar memperoleh haji yang mabrur.
Pada musim haji tahun ini, sejumlah 17 penerbangan carter disediakan kepada jemaah haji Negeri Kedah dan akan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
Turut hadir dalam majlis ini adalah DYTM Raja Muda Kedah, DYTM Tengku Temenggong Kedah, Tuan Haji Mohd Hisham Harun Ketua Sumber Manusia TH, YB Dato' Dr Ismail Saleh, Exco Kerajaan Negeri Kedah, serta dif-dif kehormat lain.