KUALA LUMPUR, 28 April 2021 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Zakat TH berjumlah RM9,171,043.56 bagi tahun kewangan berakhir 2020 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam satu majlis bertempat di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Datuk Dr Mohd Daud bin Bakar selaku Pengerusi MAIWP telah menerima bayaran Zakat TH daripada Tuan Haji Mustakim Mohamad, Pengarah Eksekutif Operasi TH. Bayaran zakat bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2020 (RM7,994,661.23).
Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2020 terus mencatatkan peningkatan di seluruh negeri sebanyak RM100,416,202.83 berbanding RM86,185,327.00 pada tahun 2020.
Majlis yang berlangsung penuh dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia ini turut dihadiri oleh wakil-wakil pengurusan tertinggi PPZ MAIWP, JAWI dan juga anggota TH.