Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan TH World #QuranHour dalam usahanya meneruskan tradisi meningkatkan syiar Islam dan memberi tumpuan terhadap pelbagai aktiviti membudayakan Al-Quran di ibu pejabat, cawangan dan anak-anak syarikat; BIMB Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, TH Properties, TH Hotels & Residences, TH Travel & Services, TH Plantations Berhad dan Theta Edge - di Surau Menara TH Tun Razak.
Seramai 1,072 anggota di peringkat TH dan anak syarikatnya di seluruh negara yang telah melengkapkan bacaan Al-Quran dalam program TH ini yang telah dilaksanakan sejak bulan Rejab yang lalu. Penganjuran program ini adalah bagi menyemai semangat cintakan kalamullah (Al-Quran) di kalangan anggota Kumpulan TH.
Pada majlis yang sama juga, TH turut memberikan sokongan penuh bagi program TH World #QuranHour dengan bacaan dan taddabur Surah Al-Kahfi sebagai surah pilihan. Program kerjasama antara Surau TH dan Yayasan Ummah Ikhlas ini merupakan sebuah landasan solidariti Ummah di bawah naungan Al-Quran.
YBhg. Dato’ Sri Zukri Samat, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, Program RSR tahun ini mengekalkan beberapa program utama diteruskan bagi memenuhi tanggungjawab sosial dalam membantu golongan yang memerlukan dalam bulan Ramadan dan meringankan beban mereka dalam membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba. Di samping itu juga dapat meningkatkan tahap sosioekonomi ummah secara keseluruhan.
Selain memenuhi tuntutan Islam untuk saling bantu-membantu terutamanya golongan asnaf, program CSR ini merupakan platform terbaik untuk TH mendekati dan mengeratkan lagi ukhuwah dengan masyarakat yang memerlukan. Kumpulan TH telah mengeluarkan zakat sebanyak RM98.75 juta pada tahun 2018. Jumlah ini adalah keseluruhan bayaran zakat TH termasuk anak-anak syarikat seperti BIMB Holdings dan Bank Islam Malaysia Berhad, tambah beliau lagi.
Lebih 1,000 Anggota Kumpulan TH Jayakan Program Membudayakan Al-Quran Sepanjang Ramadan #QuranHour
Korporat
Isnin, 27 Mei 2019