HOSPITAL KUALA LUMPUR 10 NOVEMBER 2022 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini yang diwakili oleh YBhg. Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH dengan kerjasama PERKESO dan Hospital Lumpur telah merasmikan pelancaran Projek Caring Centre MENTARI Kuala Lumpur. Projek ini adalah aktiviti sokongan kembali bekerja kepada pesakit psikiatri serta dikalangan pencarum PERKESO melalui program Re-employment support, treatment and rehabilitation team (“RESTART”).
TH telah bekerjasama dengan pihak PERKESO melalui program Cakna Prihatin yang berteraskan CSR dengan projek yang bakal memberi impak kepada pembangunan tenaga kerja, peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan di kalangan pencarum PERKESO dan orang awam. Konsep Caring Centre di Hospital Kuala Lumpur menjurus kepada penyediaan Latihan Vokasional, keusahawanan dan work trial sebagai proses persediaan dan sokongan kepada aktiviti kembali ke alam pekerjaan yang produktif dan berkesan.
Projek Caring Center ini adalah selaras dengan matlamat Program Ikhtiar Tabung Haji yang memberi bantuan zakat berupa suntikan modal kepada usahawan asnaf memulakan atau mengembangkan perniagaan masing-masing berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Kerjasama ini akan membantu para pencarum yang menghadapi masalah kesihatan mendapat sokongan yang sepatutnya untuk bangkit semula meneruskan kehidupan mereka dan kembali menjana pendapatan diri serta keluarga.