KUALA LUMPUR, 5 SEPTEMBER 2024 : TH telah menganjurkan Program Kecekapan Tenaga dan Kelestarian TH sebagai inisiatif memupuk kesedaran warga TH tentang kecekapan penggunaan tenaga secara berhemah bagi kelestarian alam sekitar. Program ini dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Ameen Abdul Wahab, Pengarah Eksekutif Operasi dan turut disaksikan oleh YBrs. Tuan Koh Keng Sen, Ketua Pegawai Operasi Sustainable Energy Development Authority (SEDA).
Pembudayaan amalan kecekapan pengurusan tenaga oleh TH membuahkan hasil di mana tiga (3) bangunan TH iaitu Menara TH Johor Bahru, Menara TH Bangsar dan Kompleks Haji Kelana Jaya, Selangor telah menerima penarafan lima (5) Bintang melalui pensijilan National Building Energy Intensity oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia. Manakala tujuh (7) lagi bangunan menerima penarafan empat (4) bintang. Pada tahun 2023, sebanyak sebelas (11) bangunan TH menerima sijil Diamond Rating melalui pensijilan Low Carbon Building Assessment Greenpass Operation daripada pihak SEDA, manakala tiga (3) buah bangunan lagi dianugerahkan sijil bangunan hijau (Green Building Index – GBI).
Usaha ini membuktikan komitmen TH dalam membantu mencapai sasaran Kerajaan dalam isu perubahan iklim, tenaga, bangunan hijau dan keperluan akta-akta berkaitan dengan kelestarian alam sekitar.