KUALA LUMPUR, 25 Mac 2021 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi lesen haji kepada 22 buah syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi tahun 2021.
Menurut Pengarah Eksekutif Haji TH, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, pelantikan 22 PJH ini adalah sebahagian daripada pelan persediaan awal haji yang dilakukan oleh TH.
“Setakat hari ini, Kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun 1442H/2021M daripada pihak berkuasa Arab Saudi. Oleh itu, semua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” kata Dato’ Sri Syed Saleh di majlis penyerahan lesen PJH di Menara TH, Kuala Lumpur baru-baru ini.