KOTA BHARU, 27 September 2024: Lembaga Tabung Haji (TH) telah memulakan persediaan Haji bagi musim 1446H/2025M dengan mengadakan Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) ke-41 di Perdana Hotel, Kota Bharu, Kelantan. MHPK yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 September, mengangkat tema ‘Akhlak Mulia Cerminan Kemabruran Haji’.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). YB Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im berkata program Muzakarah Haji ini sangat signifikan dalam membincangkan secara tuntas isu-isu yang berbangkit dan perlu diberi keutamaan untuk diketengahkan dalam musim haji yang akan datang.
MHPK ke-41 akan membincangkan lima kertas kerja antaranya permasalahan hukum-hakam ibadat haji 1445H; masalah talfiq (menerima dan menggunakan pendapat mazhab lain) dalam pelaksanaan hukum haji; hukum menunaikan haji bagi wanita kematian suami yang mendapat giliran menunaikan haji; Dawabit al-Darurah dan al-Hajah (panduan penetapan hukum dari aspek keperluan ibadat haji) serta adab dan akhlak di Masya’ir.