IPOH, 7 Mei 2021 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan Zakat TH berjumlah RM7,036,598.40 bagi tahun kewangan berakhir 2020 kepada Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam satu majlis bertempat di Istana Kinta, Ipoh, Perak.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menerima bayaran Zakat TH daripada Tuan Haji Mohamad bin Abas, Pengarah Negeri Perak. Bayaran zakat bagi Negeri Perak ini mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2019 (RM5,973,516.04). Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2020 terus mencatatkan peningkatan di seluruh negeri sebanyak RM100,416,202.83 berbanding RM86,185,327.00 pada tahun 2019.
Majlis yang berlangsung penuh dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia ini turut dihadiri oleh YABhg Jen. Dato' Seri DiRaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YABhg Dato' Seri Mohd Annuar bin Zaini, Yang Dipertua MAIPk, YBrs Tuan Shahrul Azam bin Shaari, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk bersama 7 lagi Penyerah Zakat yang lain.
Zakat TH Sebanyak RM7.03 Juta Bantu Asnaf Negeri Perak
Korporat
Jumaat, 7 Mei 2021