KUALA LUMPUR, 26 Mac 2021 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah dan sedang giat membuat persediaan bagi memastikan kelancaran operasi haji musim 1442H/2021M meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
Dalam sidang media yang diadakan di Menara TH, Pengarah Eksekutif Haji TH, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata persiapan awal yang dibuat adalah dengan mengambil kira amalan norma baharu dalam urusan pengendalian operasi di tanah air termasuk persediaan di stesen-stesen berlepas seluruh negara. TH turut membuat persiapan dari segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan, hukum hakam ibadah dan sebagainya di Tanah Suci Makkah dan Madinah.
“Walaupun sehingga kini masih tiada kepastian tentang pelaksanaan haji tahun ini, TH perlu mengambil langkah untuk bersedia. Kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu pengumuman rasmi Kerajaan Arab Saudi berkaitan urusan haji dan jumlah jemaah haji negara yang dibenarkan untuk melaksanakan rukun Islam yang ke lima pada tahun ini,” jelas beliau.