KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER 2024 – Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi musim 1446H/2025M kepada bakal jemaah haji Muassasah yang pertama kali menunaikan ibadat haji.
Bantuan Kewangan Haji pada musim haji kali ini dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun. Jumlah bantuan yang besar ini telah memberikan kesan langsung terhadap kemampanan kewangan TH dan pulangan kepada pendeposit.
TH telah dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji 1446H/2025M, dimana Kos Haji masih kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah Muassasah. Bagi mengawal Kos Haji, TH telah berusaha untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak yang meningkat.