KOTA KINABALU, 30 Oktober 2021 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah menyumbang sebuah van kepada Pertubuhan Pengurusan Rumah Amal Selawat Nabi, Sandakan, Sabah (PPPASN) . Setiausaha Politik kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Encik Wan Rohimi Wan Daud telah hadir menyerahkan replika kunci van tersebut kepada Puan Siti binti Musa, Penyelaras PPPASN.
Dengan sumbangan van ini, penghuni Pusat Jagaan PPPASN akan lebih mudah untuk bergerak dan menguruskan hal-hal berkaitan proses pembelajaran serta perubatan anak-anak asnaf yang terdiri dalam lingkungan empat (4) sehingga 16 tahun.
Sejak pelancaran Program Mobiliti TH pada tahun 2016, TH telah menyumbang lebih 56 buah kenderaan pelbagai fungsi kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara yang telah memberi manfaat lebih daripada 200 ribu kariah. Pada tahun ini, TH memperluaskan penerima sumbangan ini ke rumah dan persatuan kebajikan di seluruh negara seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan rumah untuk Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu memudahkan mereka bergerak untuk menjalankan aktiviti dan program mereka.