KUALA LUMPUR, 4 Julai 2022: Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyerahkan zakat TH bernilai RM7,170,596.71 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Perak (MAIPk) di Istana Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur.
Dalam majlis tersebut, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM11.8 juta daripada 10 syarikat korporat untuk MAIPk.
Serahan zakat itu didahului oleh TH yang diwakili Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH, Mustakim Mohamad dengan jumlah bayaran RM7.17 juta, diikuti FGV Holdings Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor (RM1.2 juta).
Menyusulinya, Bank Rakyat (RM878,540), Etiqa Family Takaful Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad (RM695,330), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) (RM592,374), Bank Islam Malaysia Berhad (RM435,000), Boustead Plantations Berhad (RM296,623).
Turut menyampaikan zakat adalah Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM276,734), R & Z Enterprise (RM200,000), dan Sinar Beseri (RM125,000). Yang turut hadir, wakil dari agensi masing-masing selain daripada Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Anggota MAIPk, Profesor Datuk Dr. Ansary Ahmed; dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari.