Lembaga Tabung Haji ( TH ) hari ini menyerahkan Zakat TH berjumlah RM 1,706,981.57 bagi tahun kewangan berakhir 2018 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dalam satu majlis di The Maggelan Sutera Resort, Kota Kinabalu.
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang Di-pertua Negeri Sabah telah berkenan menerima bayaran Zakat TH daripada YBhg. Datin Nurlaila Said, Pengarah Negeri TH Sabah. Bayaran zakat bagi negeri Sabah ini mencatatkan peningkatan sebanyak 28.2% berbanding tahun 2017 (RM 1,331,855.04).
Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6% (RM85.57 juta) berbanding tahun 2017 (RM67.61).
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YB Datuk Haji Aidi bin Haji Mokhtar, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri; YB Datuk Haji Uda bin Sulai, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri; YBhg. Datuk Seri Panglima Dr. Haji Habullah bin Haji Mohd Taha, Yang Dipertua MUIS; pegawai-pegawai MUIS dan anggota-anggota TH.