Kumpulan pertama seramai 483 orang jemaah haji Malaysia bagi Musim Haji 1440H/2019M selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada pukul 11:50 pagi (waktu tempatan).
Para jemaah haji kumpulan pertama ini telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 8:30 pagi (waktu Malaysia) menggunakan pesawat A380 Penerbangan Malaysia (MAS).
Ketibaan mereka di Hotel Al Haram yang terletak kira-kira 100 meter dari perkarangan Masjid An-Nabawi disambut oleh Tuan Haji Nurrinanuwar Shamsuddin, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan); Dr. Mohammad Faid Abd Rashid, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan); Tuan Haji Mohammad Saimi Mat Som, Konsul Haji; Tuan Haji Affandi Abdullah, Pengarah Operasi Haji Madinah; serta para petugas pada pukul 1:30 petang, waktu tempatan.
Selain Hotel Al-Haram, TH turut menyediakan empat (4) lagi hotel penempatan seperti Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, Hotel Saja Al-Madinah, Hotel As Saha dan Hotel Rawda Al-Aqiq di sekitar 100-300 meter dari Masjid An-Nabawi.
Tuan Haji Nurrinanuwar berkata, “Kita amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi meneruskan inisiatif pra-perlepasan yang turut dikenali sebagai “Mecca Route initiative” bagi kesemua jemaah haji Malaysia. Pelaksanaan program ini telah terbukti mengurangkan masa jemaah yang berada di lapangan terbang dan juga proses imigresen dapat diselesaikan dalam masa 45 minit hingga satu (1) jam berbanding masa menunggu sehingga tiga/empat jam sebelum program ini perkenalkan”.
“Ucapan tahniah diucapkan kepada Kerajaan Arab Saudi di atas kejayaan pelaksanaan inisiatif ini dalam memberikan keselesaan kepada dhuyufurrahman,” tambah beliau.
Selain itu juga, beliau turut berterima kasih kepada pihak Muassasah Adilah Madinah yang telah banyak membantu khususnya dalam aspek pengurusan haji di sini.
Pada masa yang sama, Tuan Haji Nurrinanuwar menasihatkan jemaah haji agar sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan serta menjaga kesihatan terutama dalam menghadapi cuaca yang agak panas sehingga mencecah 47 darjah Celsius.
TH telah merangka pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan oleh jemaah haji di Madinah antaranya – ziarah luar dan dalam Madinah; serta ceramah bimbingan haji semasa jemaah haji berada di Madinah.
Seramai 30,200 orang jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini, dan dijadualkan tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat, bermula hari ini.