1 |
Berapakah kadar dan jumlah Agihan Keuntungan bagi Tahun 2023?
|
- Agihan Keuntungan bagi tahun 2023 kekal pada kadar 3.10% setelah mengambil kira zakat sebanyak 2.57% dilunaskan bagi pihak pendeposit.
- Agihan Keuntungan 2023 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.72 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH. Jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan selama 60 tahun adalah sebanyak RM42.9 bilion sehingga kini.
- Kadar Agihan Keuntungan 2023 yang telah diselesaikan tanggungjawab zakat ini adalah kadar yang baik.
- Agihan Keuntungan bagi Tahun 2023 yang telah dilunaskan zakat ini kekal lebih tinggi berbanding dengan purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 3.05%.
|
2 |
Mengapakah pengumuman Agihan Keuntungan TH 2023 dibuat lebih awal berbanding tahun lalu?
|
- Mulai tahun 2022, pengumuman Agihan Keuntungan dibuat setelah prestasi dan kedudukan kewangan TH selesai diaudit seperti mana saranan penambahbaikan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI).
- Untuk tahun 2023, pengauditan telah dimuktamadkan lebih awal daripada tahun 2022 di mana sijil Ketua Audit Negara dikeluarkan pada awal Mac 2024. TH merupakan Agensi Persekutuan pertama yang menerima sijil Ketua Audit Negara bagi tahun ini.
|
3 |
Adakah tren kadar Agihan Keuntungan sebanyak 3.10% ini akan kekal di masa hadapan memandangkan ia kekal sama dari tahun 2020?
|
- Agihan Keuntungan TH untuk sesuatu tahun itu adalah berdasarkan prestasi dan kedudukan kewangan TH.
- Agihan Keuntungan adalah hasil aktiviti pelaburan yang berpandukan disiplin Alokasi Aset Strategik (SAA) yang berasaskan tahap toleransi risiko yang bersesuaian dengan TH, demi kelestarian kedudukan portfolio pelaburan.
- Justeru itu, Agihan Keuntungan TH adalah berkadaran dengan tahap toleransi risiko TH dan selari dengan kadar pasaran semasa instrumen Kerajaan dan deposit simpanan 12 bulan perbankan Islam.
- Untuk tahun 2023, suasana ekonomi dan pasaran modal domestik dan global kekal mencabar, di mana pertumbuhan ekonomi negara-negara maju dan membangun adalah tidak seimbang sepanjang 2023.
- Walaupun kadar kekal seperti mana tahun 2022, Agihan Keuntungan tahun 2023 berjumlah RM2.72 bilion tersebut telah meningkat sebanyak RM72 juta berbanding tahun 2022.
|
4 |
Bagaimanakah cara pengiraan Agihan Keuntungan Bagi Tahun 2023?
|
|
5 |
Siapakah yang layak menerima Agihan Keuntungan bagi Tahun 2023?
|
- Pendeposit yang layak adalah:
- Akaun berstatus aktif pada 31 Disember 2023 dan kekal aktif sehingga tarikh kredit Agihan Keuntungan dibuat; dan
- Membuka akaun pada atau sebelum 5 Disember 2023.
|
6 |
Siapakah yang tidak layak menerima Agihan Keuntungan bagi Tahun 2023?
|
- Pendeposit yang tidak layak adalah:
- Pendeposit dengan akaun tidak aktif dan berstatus dorman;
- Pendeposit dengan akaun yang ditutup sebelum tarikh Agihan Keuntungan dikreditkan; dan
- Pendeposit dengan akaun yang dibuka selepas 5 Disember 2023 (tidak cukup satu bulan penuh).
|
7 |
Bagaimanakah Agihan Keuntungan dibayar kepada pendeposit?
|
- Agihan Keuntungan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pendeposit yang masih aktif dan layak menerima agihan keuntungan.
|
8 |
Bilakah Agihan Keuntungan bagi Tahun 2023 boleh disemak oleh pendeposit?
|
- Jumlah agihan keuntungan dan baki terkini boleh disemak mulai 12.00 tengah hari, 2 April 2024 menerusi:
- Platform THiJARI;
- Kaunter cawangan TH;
- Kaunter cawangan bank-bank rakan strategik TH, iaitu Bank Islam dan Bank Rakyat; dan
- Saluran elektronik bank rakan strategik TH, iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
|
9 |
Adakah pendeposit masih perlu membayar zakat ke atas wang simpanan di TH?
|
- Agihan Keuntungan bagi Tahun 2023 ini diagihkan setelah zakat dilunaskan bagi pihak pendeposit.
- Pendeposit TH tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima.
- TH melunaskan zakat bagi pihak pendeposit selaras dengan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-17 pada 3 Mei 1979.
|
10 |
Berapakah zakat yang telah dilunaskan oleh TH bagi pihak pendeposit?
|
- TH memperuntukkan zakat sebanyak RM101 juta bagi tahun 2023 yang akan dilunaskan sepenuhnya kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit.
- Pembayaran zakat kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri adalah berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri.
- Sehingga kini, TH telah melunaskan zakat secara terkumpul sebanyak RM1.37 bilion.
- TH telah menyantuni lebih 560 ribu asnaf di seluruh negara pada tahun 2023 melalui Program Zakat Wakalah di mana TH menjadi wakil kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk mengedarkan sendiri sebahagian daripada dana zakat tersebut kepada asnaf. Secara keseluruhannya, lebih daripada 1.6 juta asnaf telah menerima manfaat dari Program Zakat Wakalah TH
|
11 |
Adakah TH mengeluarkan resit bagi bayaran zakat pendeposit?
|
- TH membayar zakat bagi pihak pendeposit berdasarkan pendekatan hukum Khultoh iaitu harta yang bercampur.
- Jenis zakat yang dibayar adalah zakat perniagaan dan bukan zakat simpanan kerana pendeposit telah mewakilkan kepada TH untuk mengurus pelaburan dana simpanan pendeposit melalui kontrak Wakalah.
- Sehubungan itu, resit zakat tidak dikeluarkan.
|
12 |
Bagaimanakah pengiraan zakat tersebut dilaksanakan?
|
- Pengiraan zakat bagi pihak pendeposit adalah berdasarkan Modal Kerja Terlaras dan pendekatan hukum Khultoh (iaitu harta yang bercampur). Pertimbangan yang diambil kira dalam penentuan kaedah pengiraan zakat adalah termasuk:
- Pengiraan zakat berdasarkan zakat perniagaan adalah wajar, berdasarkan hubungan wakalah di mana dana simpanan pendeposit mewakili kepentingan pendeposit ke atas aset pelaburan dan perniagaan TH;
- Ciri deposit TH yang boleh dikeluarkan mengikut permintaan. Oleh itu, kaedah pengiraan berdasarkan Modal Kerja Terselaras wajar digunakan.
- Elemen wakalah dan elemen perkongsian pendeposit selaku prinsipal dilihat sebagai faktor yang mewajarkan pengiraan zakat berdasarkan hukum Khultoh.
- TH mengguna pakai kadar 2.57% mengambil kira perbezaan bilangan hari dalam setahun di antara kalendar Qamari dan kalendar Masihi sebagaimana saranan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah TH.
|
13 |
Bagaimanakah prestasi dan kedudukan bagi tahun 2023?
|
- Sebagai dana simpanan yang dijamin oleh Kerajaan, TH berhati-hati dalam mengambil risiko pelaburan demi melindungi wang pendeposit.
- Pendapatan pelaburan kekal berdaya tahan meskipun dalam suasana ekonomi dan pasaran modal domestik dan global yang mencabar.
- TH telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM4.24 bilion bagi tahun 2023 berbanding RM3.85 bilion bagi tahun 2022, peningkatan sebanyak 10%.
- Prestasi TH pada tahun 2023 telah didorong oleh pelaburan patuh Syariah di dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 52 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 24 peratus disumbang oleh pelaburan ekuiti. Pulangan daripada pelaburan hartanah dan pasaran wang juga menyumbang 24 peratus kepada jumlah pendapatan.
Portfolio |
Peratusan Alokasi Aset |
Peratusan Sumber Pendapatan |
Pendapatan Tetap (Sukuk) |
58% |
52% |
Ekuiti |
25% |
24% |
Hartanah |
7% |
8% |
Pasaran Wang |
10% |
16% |
Jumlah |
100% |
100% |
|
14 |
Adakah prestasi kewangan TH terkesan dengan keadaan ekonomi dan pasaran tahun 2023?
|
- Ekonomi global menunjukkan prestasi yang lebih perlahan pada sepanjang 2023 ekoran kadar faedah yang tinggi di Amerika Syarikat dan Eropah, krisis geopolitik antarabangsa, tekanan terhadap nilai mata wang negara-negara membangun termasuk Ringgit dan kesukaran China merangsang ekonomi.
- Hal ini turut memberi kesan terhadap prestasi ekonomi domestik. TH yang mempunyai sekitar 90% pendedahan pelaburan dalam pasaran domestik telah berdepan dengan cabaran-cabaran seperti tekanan terhadap hasil pulangan sukuk serta prestasi pasaran saham dan pasaran hartanah yang lebih sederhana.
|
15 |
Apakah usaha yang telah dilaksanakan oleh TH dalam keadaan ekonomi mencabar pada tahun 2023?
|
- Sebagai dana yang dijamin Kerajaan, TH perlu lebih berhati-hati menangani risiko pelaburan demi melindungi wang pendeposit. TH telah mengambil langkah meminimakan risiko supaya modal pelaburan terpelihara dan melabur mengikut disiplin Alokasi Aset Strategik yang berasaskan tahap toleransi risiko yang bersesuaian dengan TH.
|
16 |
Adakah tanggungan Bantuan Kewangan Haji TH memberikan kesan kepada Agihan Keuntungan?
|
- Agihan Keuntungan dan Bantuan Kewangan Haji saling berkait rapat kerana ianya datang daripada sumber pendapatan yang sama. Sekiranya Bantuan Kewangan Haji diberikan tinggi, maka ia akan turut mempengaruhi kadar Agihan Keuntungan kepada para pendeposit.
- Kos mengerjakan haji meningkat setiap tahun di luar kawalan TH terutama kos-kos di Tanah Suci.
- Sejak 2001, TH telah menanggung Bantuan Kewangan Haji sebagai sebahagian daripada perbelanjaan sebanyak RM2.41 bilion dan telah membayar Agihan Keuntungan berjumlah hampir RM42.9 bilion selepas mengambil kira Bantuan Kewangan Haji.
- Bermula tahun 2022, TH memperkenalkan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar, mengambil kira kemampuan jemaah haji dan kelestarian institusi haji negara ini menanggung bebanan kewangan yang semakin tinggi. Untuk tahun 2023, Bantuan Kewangan Haji secara bersasar diperincikan, dengan Bantuan Kewangan Haji diberikan secara khusus kepada B40 dan M40 sahaja.
- Dengan pengenalan bantuan secara bersasar ini, Bantuan Kewangan Haji kekal meningkat tetapi tidak ketara.
- Peningkatan ini adalah seiring dengan kos menunaikan haji yang telah meningkat sebanyak 8 peratus kepada RM30,850 seorang bagi musim haji
|
17 |
Sekiranya pemberian Bantuan Kewangan Haji diturunkan, adakah TH dapat memberi agihan keuntungan yang lebih tinggi?
|
- Keupayaan TH untuk mencatat keuntungan bergantung kepada pelbagai faktor dan tidak hanya bergantung kepada pengurangan Bantuan Kewangan Haji semata-mata.
- Keuntungan TH juga amat bergantung kepada kawalan keseluruhan kos operasi dan keadaan ekonomi serta prestasi pasaran kewangan.
|
18 |
Bagaimana dengan pemahaman konsep Istito'ah di kalangan bakal jemaah haji?
|
- Pemahaman konsep Istito'ah adalah lebih mendalam dari segi konteks menunaikan haji dan menyebabkan ada jemaah haji yang memilih untuk membuat Bayaran Haji melebihi jumlah yang tetapkan bagi kategori masing-masing.
- Sebelum tahun 2022, tiada bayaran tambahan direkodkan melebihi jumlah Bayaran Haji yang ditetapkan. Pada tahun 2022, seramai 45 orang dari 16,690 jemaah membuat bayaran melebihi Bayaran Haji yang ditetapkan (berjumlah RM716 ribu), dan ini telah meningkat kepada 396 orang dari 32,434 jemaah haji yang membuat bayaran melebihi Bayaran Haji yang ditetapkan (dengan jumlah RM1.76 juta) pada tahun 2023.
|
19 |
Bagaimana pula jika dibandingkan Kadar Agihan Keuntungan Tahun 2023 dengan dana/institusi lain?
|
- Kadar Agihan Keuntungan 2023 yang telah diselesaikan tanggungjawab zakat dan simpanan yang dijamin oleh Kerajaan ini adalah kadar yang baik.
- TH ditubuhkan untuk membantu umat Islam menyimpan wang bagi menunaikan haji. Matlamat ini mempengaruhi cara TH merangka strategi pelaburan, tahap risiko dan tahap kecairan yang akan menentukan kadar pulangan yang diperolehi.
- Institusi pelaburan yang lain mempunyai matlamatnya yang tersendiri dan ini akan mendorong mereka untuk mempunyai strategi pelaburan, tahap risiko dan tahap kecairan yang berlainan juga.
- Ini bermakna Kadar Agihan Keuntungan TH tidak boleh dibandingkan secara saksama dengan institusi pelaburan yang lain kerana tujuan penubuhan yang berbeza.
- Selain itu, simpanan di TH adalah kekal selamat kerana dijamin sepenuhnya (tanpa had amaun) oleh Kerajaan seperti yang termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995, selain zakat telah dibayar bagi pihak pendeposit, di mana kelebihan ini tiada di dana/institusi lain.
|
20 |
Bagaimana jika Agihan Keuntungan TH dibandingkan deposit tetap perbankan Islam dan deposit tabungan perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan?
|
- Aliran masuk dan keluar jumlah simpanan akaun di TH adalah atas permintaan, tidak dikenakan sebarang had dan boleh dilakukan melalui pelbagai platform termasuk perbankan atas talian.
- Ini menunjukkan simpanan akaun di TH adalah seperti deposit tabungan perbankan Islam di mana ia amatlah berbeza jika dibandingkan dengan lain-lain pelaburan seperti deposit tetap perbankan Islam, pelaburan di koperasi, pelaburan di amanah saham dan pelaburan untuk persaraan.
- Kadar Agihan Keuntungan bagi Tahun 2023 adalah lebih tinggi berbanding purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan (3.05%) di mana aliran keluar jumlah deposit tetap adalah bukan atas permintaan.
|
21 |
Adakah Kadar Agihan Keuntungan akan berubah mengikut keuntungan TH pada tahun-tahun berikutnya?
|
- Agihan keuntungan kepada pendeposit adalah berdasarkan prestasi dan kemampuan kewangan TH pada tahun semasa dan tertakluk kepada pematuhan kehendak Akta Tabung Haji 1995 dan polisi-polisi dalaman.
|
22 |
Bagaimanakah trend simpanan oleh pendeposit pada tahun 2023 berbanding 2022?
|
- Jumlah dana pendeposit telah meningkat kepada RM89.0 bilion dengan seramai 9.15 juta pendeposit pada 31 Disember 2023 daripada RM87.6 bilion dengan seramai 8.77 juta pendeposit pada 31 Disember 2022.
- Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia beragama Islam yakin dengan kemampuan TH dalam memberi pulangan kompetitif kepada simpanan mereka di samping memberi mutu perkhidmatan terbaik dalam pengurusan ibadat haji rakyat Malaysia.
- TH sentiasa berusaha bagi menambah baik perkhidmatan dengan melaksanakan pembaharuan dan penstrukturan operasi serta pelan perniagaan untuk manfaat pendeposit.
|
23 |
Bagaimanakah cara pengiraan Keuntungan Boleh Agih Bagi Tahun 2023?
|
- Keuntungan bersih selepas zakat perlu diselaraskan dengan keuntungan realis penjualan instrumen ekuiti yang diukur pada nilai saksama melalui pendapatan komprehensif lain kerana keuntungan tersebut adalah pendapatan realis yang turut boleh diagih kepada pendeposit.
- TH perlu memastikan pematuhan kepada kehendak Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) di mana aset dikehendaki melebihi liabiliti dan TH kekal mampu memenuhi semua obligasi dan kewajipan di bawah Akta TH selepas pengisytiharan Agihan Keuntungan dibuat;
|
24 |
Apakah jangkaan agihan keuntungan bagi tahun 2024?
|
- Masih terlalu awal untuk menjangkakan Agihan Keuntungan bagi Tahun 2024 kerana baru sahaja di dalam suku pertama 2024.
- Namun fokus TH adalah untuk memberikan pulangan yang stabil dan mampan kepada pendeposit setelah zakat dilunaskan bagi pihak pendeposit.
|
25 |
Agihan Keuntungan bagi Tahun 2023 adalah sama seperti tahun lalu, Apakah faktor yang menyebabkan TH tidak boleh memberi Agihan yang lebih dari tahun sebelumnya?
|
- Agihan keuntungan bergantung kepada keuntungan yang diperoleh TH mengikut tahun semasa, yang mana juga bergantung kepada persekitaran ekonomi semasa, dalaman dan global.
- Persekitaran pelaburan kekal mencabar bagi tahun 2023 seperti tahun 2022. Sebagai dana simpanan yang dijamin oleh Kerajaan, TH berhati-hati dalam mengambil risiko pelaburan demi melindungi wang pendeposit.
|