Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan Kursus Pengukuhan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) bagi Musim Haji 1434H / 2013 yang diadakan di Nilai Springs Resort, Negeri Sembilan.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YB. Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji, YBhg. Dato' Syed Saleh Syed Abd Rahman dan Barisan Pengurusan Kanan TH.
Seramai 75 orang peserta telah terpilih menyertai kursus ini yang terdiri daripada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci untuk Pakej Muassasah Tabung Haji, Pakej Tabung Haji Travel dan syarikat-syarikat swasta (Pengelola Jemaah Haji) yang telah diberikan lesen oleh TH untuk membawa Jemaah Haji ke Tanah Suci.
Program ini diadakan bertujuan untuk memastikan TH menyediakan para pembimbing ibadat haji yang terlatih serta berpengetahuan dalam membantu Jemaah-jemaah haji menyelesaikan persoalan ibadah mereka ketika di Tanah Suci. Ianya juga merupakan inisiatif TH untuk memastikan keseragaman bimbingan dan khidmat nasihat berkaitan ibadat haji, bagi keselesaan para Jemaah haji negara.