KUALA LUMPUR, 27 Disember 2022: Pesara guru, Jamaludin Aloi dari Tanjung Karang Selangor dan Haryati Abdul Rahman, seorang guru bahasa isyarat dari Bandar Saujana Putra Selangor telah terpilih memenangi Kuiz Program Seruan Haji yang telah disiarkan semasa musim haji 1443H/2022 yang lalu.
Kedua-dua pemenang menerima hadiah pakej umrah bernilai RM10,300 yang ditaja oleh TH Travel & Services Sdn Bhd. Program ini juga telah menerima tajaan daripada Takaful Malaysia, Movenpick Hotel & Convention Center dan kerjasama JAKIM/RTM sebagai rakan penyiar. Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah diadakan di Menara TH Kuala Lumpur.
Pengarah Eksekutif Haji, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata objektif utama kuiz ini adalah untuk memupuk minat umat Islam di Malaysia terutama bakal-bakal haji untuk mendalami Ilmu pelaksanaan ibadat haji serta memahami situasi di tanah suci ketika transisi era pandemik kepada era endemik.
“Program ini memberi pendedahan kepada masyarakat umum mengenai erti pengorbanan di sebalik ibadat haji dengan fokus utama kepada pelaksanaan rukun Islam ke lima serta kredibiliti TH selaku institusi tunggal yang bertanggungjawab menguruskan pelaksanaan haji di Malaysia. Program ini turut menyemarakkan semangat umat Islam Malaysia untuk menunaikan ibadat haji” tambah beliau lagi.
Sebanyak tujuh (7) episod Program Seruan Haji telah dilaksanakan dengan enam (6) episod adalah secara ‘talk show’ manakala episod terakhir dalam format dokumentari. Para pemenang telah dipilih oleh para juri bebas berdasarkan jawapan yang tepat dan slogan yang unik dan menarik.
TH telah memulakan persediaan bimbingan haji kepada bakal-bakal haji dengan penganjuran Kursus Asas Haji sebanyak 13 siri di 201 buah masjid di seluruh negara bermula 25 November 2022.
-Tamat-