KUALA LUMPUR, 2 Mac 2021 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan yang lebih baik sebanyak 3.10% selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding 3.05% pada tahun 2019, kepada kira-kira sembilan (9) juta pendepositnya.
Agihan keuntungan bagi tahun 2020 melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2019.
Yang Berhormat Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata pihaknya bersyukur dengan prestasi kewangan TH pada tahun 2020 yang kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung tahun 2019 akibat Pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi tahun 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lepas. Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan,” tambah beliau lagi.
Jumlah deposit di TH telah mencecah RM76.7 bilion pada 26 Februari 2021 iaitu paras tertinggi dalam sejarah, sekaligus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap TH terus kekal utuh.
TH ditubuhkan pada tahun 1963 dengan tujuan untuk membantu umat Islam Malaysia menyimpan wang sedikit demi sedikit bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima.
Pada masa yang sama, TH turut melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM106.2 juta bagi tahun 2020 berbanding RM86 juta pada tahun 2019. Oleh itu para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima oleh mereka. Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara.
Urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula pukul 8 malam, Selasa, 2 Mac 2021 sehingga pukul 12 tengah hari, Rabu, 3 Mac 2021, bagi melancarkan urusan agihan keuntungan. Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas pukul 12 tengah hari pada hari Rabu, 3 Mac 2021 menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.
Berkenaan ibadat haji, YB Datuk Dr Zulkifli berkata sehingga kini Kerajaan Arab Saudi masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentang musim haji tahun 2021 walaupun telah menerima kira-kira 100,000 jemaah umrah semenjak 1 November 2020.
“Tahun lepas, ibadat haji telah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia. Marilah kita terus berdoa agar wabak ini pulih sepenuhnya dan kita dapat menjadi tetamu Allah di tanah suci semula. Walaupun masih belum mendapat pengesahan tentang ibadat haji tahun ini, kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan. Oleh itu saya menasihati semua bakal haji untuk mengikuti kursus asas haji mingguan yang sedang dianjurkan oleh TH secara dalam talian. Bakal-bakal haji juga perlu menjaga kesihatan diri dengan menjaga pemakanan dan lakukan senaman kerana ibadat haji menuntut kekuatan fizikal dan mental,” tambah Datuk Dr Zulkifli.
-Tamat-