KUALA LUMPUR, 17 Disember 2024 – Urusan pemeriksaan kesihatan adalah lebih mudah bagi musim haji 1446H/2025M kerana buku rawatan jemaah haji kini dalam bentuk digital.
Hasil transformasi digital Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji (BRRJH) dapat menjimatkan masa dan tenaga bakal haji di samping memastikan rekod kesihatan mudah diakses semasa di Tanah Suci.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata proses menjawab tawaran haji kini lebih mudah berbanding sebelum ini. Pada tahun lepas bakal haji yang telah menerima surat tawaran melalui aplikasi THiJARI dikehendaki untuk hadir ke pejabat cawangan terdekat bagi mendapatkan BRRJH secara fizikal. Pada tahun ini, tiada keperluan lagi untuk hadir ke pejabat cawangan untuk mendapatkan BRRJH.
Bakal haji boleh membuat semakan menerusi aplikasi THiJARI dan memuat turun surat tawaran tunai haji melalui laman web THiJARI, www.thijari.com.my. Seterusnya, mereka boleh melakukan pemeriksaan kesihatan di fasiliti kesihatan yang mempunyai Pegawai Perubatan yang berdaftar dengan TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dikehendaki untuk membawa bersama kad pengenalan dan Surat Tawaran Tunai Haji (‘softcopy / hardcopy’).
Setelah selesai pemeriksaan kesihatan, bakal haji akan menerima notifikasi mengenai status kesihatan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), email dan di aplikasi THiJARI. Kemudian, bakal haji boleh melengkapkan proses terimaan tawaran haji melalui laman web THiJARI.
Proses pengisian maklumat oleh bakal haji dan Pegawai Perubatan juga semuanya dilakukan dalam sistem yang diintegrasikan bersama sistem dari KKM untuk mendapatkan butiran penuh tahap kesihatan bakal jemaah serta status vaksinasi.
Kini, bakal haji tidak perlu lagi untuk membawa BRRJH secara fizikal ke Tanah Suci kerana semua maklumat dan status kesihatan terkumpul di dalam satu sistem, sekali gus dapat mengurangkan risiko kehilangan buku rekod tersebut.
Pada tahun ini Kerajaan Arab Saudi masih mewajibkan bakal haji mengambil suntikan vaksin Meningococcal. Selain itu, bagi bakal haji yang berumur 65 tahun ke atas dan bakal haji yang mempunyai penyakit komorbid atau mengalami masalah sistem imun lemah pula diwajibkan untuk mengambil vaksin Meningococcal, Influenza dan Covid-19.
Buat masa ini, Bakal Haji disarankan untuk mengambil suntikan Vaksin Meningococcal dan Influenza setelah lulus pemeriksaan kesihatan. Manakala bagi Vaksin Covid-19, pemakluman mengenai suntikan vaksinasi tersebut akan dimaklumkan oleh TH/KKM kemudian.
Proses penambahbaikan ini merupakan usaha berterusan TH kepada bakal jemaah haji untuk menjimatkan masa, tenaga dan memudahkan urusan bakal jemaah haji dalam proses persiapan menunaikan haji pada tahun yang akan datang.
“TH sentiasa menitik beratkan tentang kemudahan para pendeposit terutamanya dalam proses persiapan menunaikan haji. Jemaah haji tidak perlu lagi menunggu masa yang lama untuk berurusan dan membolehkan jemaah haji untuk memilih tarikh dan masa yang bersesuaian untuk membuat ujian kesihatan,” tambah beliau.
-TAMAT-