Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan majlis penyerahan sumbangan kenderaan dwifungsi – yang boleh digunakan sebagai van jenazah dan membawa penumpang; kepada 25 masjid terpilih seluruh negara bernilai kira-kira RM3 juta.
“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada program zakat TH yang bertujuan membantu pihak pengurusan masjid menjalankan tanggungjawab mereka dalam aspek fardu kifayah untuk manfaat dan kemaslahatan kariah setempat seperti urusan pengebumian jenazah serta kemudahan pengangkutan kepada ahli kariah. Di samping itu juga, ia bertujuan untuk pihak masjid menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan seperti kelas-kelas fardu ain dan sebagainya,” kata YBrs. Tuan Nik Mohd Hasyudeen bin Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH yang hadir menyempurnakan penyerahan tersebut.
Program Mobiliti merupakan program tanggungjawab sosial korporat yang diperkenalkan oleh TH sejak tahun 2016 dengan objektif untuk mempermudah dan melancarkan kehidupan komuniti Islam, merangkumi aspek sosial dan ekonomi demi kemaslahatan ummah dalam usaha menegakkan syiar Islam di negara ini.
“Sumbangan kenderaan dwifungsi melalui Program Mobiliti TH ini diharap dapat memberikan manfaat sepenuhnya kepada masjid-masjid terpilih memandangkan fungsi kenderaan tersebut tidak terhad penggunaannya ketika berlaku kematian sahaja tetapi dapat digunakan sebagai kenderaan penumpang yang boleh membawa ahli kariah untuk melaksanakan aktiviti kebajikan dan sebagainya,” tambah beliau lagi.
Keprihatinan TH dalam melaksanakan program kemasyarakatan ini adalah selaras dengan visi dan misinya dalam pembangunan sosioekonomi ummah dan negara.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengurusan Kanan TH, ahli jawatankuasa masjid, wakil penerima sumbangan serta anggota-anggota TH.