KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER 2024 – Prihatin dengan keadaan mangsa bencana banjir, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Syarikat Kumpulannya menyalurkan pelbagai bantuan bencana kepada lebih 50,000 mangsa terjejas banjir di seluruh negara ketika ini.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH dengan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) akan mengagihkan kotak makanan berisi makanan sedia dimakan (ready to eat meal) kepada mangsa-mangsa yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan juga para petugas barisan hadapan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman berkata program bantuan bencana merupakan program tahunan untuk membantu mangsa bencana alam di seluruh negara termasuklah bencana banjir.
“TH amat prihatin dan terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri terutamanya di Pantai Timur yang mana turut mengakibatkan beberapa pejabat cawangan di negeri-negeri terlibat ditangguhkan operasi sementara. Lantaran itu, TH bersolidariti bersama komuniti yang terkesan dan hadir menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka,” kata beliau.
Sumbangan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM500,000 ini diserahkan kepada YFBM yang bertindak sebagai pengelola untuk menyediakan sebanyak 10,000 kotak makanan yang mengandungi nasi segera, lauk segera, makanan kering dan air mineral.
Setiap kotak dianggarkan dapat memenuhi keperluan makanan bernutrisi dan berkhasiat untuk sebuah keluarga kecil ataupun lima orang selama satu minggu.
Kesemua kotak makanan ini akan diagihkan secara berperingkat di PPS melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah dalam masa terdekat.
“Kami juga telah mengenal pasti beberapa anggota TH yang terkesan dengan musibah banjir ini bagi menyalurkan bantuan dan membantu sedikit sebanyak bukan sahaja untuk meringankan tekanan, malah memulihkan harapan mereka untuk terus bersemangat dan bangkit menghadapi ujian ini,” tambah beliau.
Sebagai tanda solidariti juga, usaha ini turut disahut oleh Syarikat Kumpulan TH. Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menganjurkan Program Prihatin Banjir dengan menawarkan penangguhan ansuran pembiayaan rumah, peribadi dan kenderaan selama enam bulan, di samping Kemudahan Bantuan Bencana khusus buat perniagaan mikro, kecil dan sederhana yang menyediakan pembiayaan modal kerja serta membaik pulih atau menggantikan aset perniagaan yang rosak.
Sebagai syarikat yang prihatin, BIMB juga memperuntukkan bantuan sokongan kewangan berjumlah RM250,000 dan melancarkan Tabung Bantuan Banjir bagi membantu kakitangan yang terkesan.
Manakala, Syarikat Takaful Malaysia Berhad juga memberikan sumbangan bantuan kewangan serta bantuan proses tuntutan insurans segera untuk kenderaan mahupun kesihatan bagi mangsa yang terkesan dengan musibah ini. Sukarelawan di kalangan kakitangan turut dikerahkan bagi usaha bantuan banjir dan pasca banjir.
TH Properties Sdn. Bhd. turut menyumbang bantuan bekalan asas harian kepada mangsa-mangsa banjir dengan nilai sumbangan keseluruhan berjumlah RM10,000.
-TAMAT-