Kuala Lumpur, 7 November 2017 ― Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pengekalan bayaran haji sebanyak RM9,980.00 bagi musim haji tahun 2018M/1439H walaupun kos sebenar haji telah meningkat sebanyak 15% kepada RM22,450 berbanding RM19,550 pada musim haji yang lalu.
Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, pengekalan bayaran haji ini telah dilaksanakan sejak tahun 2009 adalah atas inisiatif Kerajaan yang amat prihatin terhadap kebajikan rakyat khususnya umat Islam di Malaysia untuk menunaikan rukun Islam yang ke lima. TH dijangkakan akan menanggung subsidi haji hampir RM400 juta yang merupakan tanggungjawab sosial korporat terbesar TH bagi mendukung aspirasi Kerajaan untuk mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi. Adalah menjadi hasrat Kerajaan agar lebih ramai umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadah haji dengan kos yang tidak membebankan.
"Subsidi haji yang akan diberikan kepada seorang jemaah haji muassasah kali pertama ialah sebanyak RM12,470 iaitu 56% daripada kos haji, manakala jemaah haji hanya perlu membayar sebanyak RM9,980.00 iaitu 44% daripada kos haji," tambahnya lagi.
Bayaran haji ini merupakan kos yang paling rendah di Asia Tenggara dengan kemudahan perkhidmatan yang disediakan secara percuma oleh TH semasa menunaikan ibadah haji. Demi kebajikan serta keselesaan jemaah haji, pelbagai kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan oleh TH di Tanah Suci dan Tanah
Air di tambah baik tanpa sebarang bayaran tambahan seperti perkhidmatan kesihatan, kaunseling, bimbingan dan kewangan.
Kerajaan yang sentiasa cakna dalam memartabatkan syiar Islam telah memberikan sokongan yang berterusan kepada TH melalui kerjasama kukuh yang dimeterai dengan pelbagai agensi Kerajaan lain sejak penubuhannya bagi memudahkan rakyat dalam melaksanakan ibadah haji.
TH telah memulakan proses penghantaran surat tawaran menunaikan haji secara berperingkat bermula Isnin, 6 November 2017. Oleh yang demikian, bakal-bakal haji yang berada dalam penggiliran kuota haji bagi tahun 1439H/2018M dan 1440H/2019M dinasihatkan untuk mengemas kini maklumat peribadi seperti alamat dan nombor telefon masing masing dengan segera.
Perkara | 1438H/2017M | 1439H/2018M |
---|---|---|
Kos Haji (RM) | 19,550.00 (100%) | 22,450.00 (100%) |
Bayaran Haji (RM) | 9,980.00 (51%) | 9,980.00 (44%) |
Subsidi Haji (RM) | 9,570.00 (49%) | 12,470.00(56%) |
Jadual 1: Kos haji bagi jemaah haji muassasah kali pertama.
Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan
-Tamat-