Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengadakan Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji & Penghargaan kepada Sahabat Korporat TH yang terdiri daripada badan-badan korporat, syarikat swasta dan agensi-agensi kerajaan yang telah menyumbang kepada jemaah haji musim 1440H|2019M yang lalu. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Md Nor Yusof, Pengerusi TH bertempat di Dewan Besar, Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur.
YBhg. Tan Sri Md Nor Yusof dalam ucapannya berkata “Program seumpama ini banyak membantu meringankan beban kewangan dan juga memberi kemudahan kepada para bakal jemaah haji ketika menyediakan kelengkapan barangan keperluan untuk kegunaan ketika berada di Tanah Suci”. Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua syarikat yang sudi menyertai usahasama strategik dengan TH ini.
Pada tahun ini, sebanyak 28 organisasi korporat dan syarikat swasta telah tampil menyertai Sahabat Korporat TH dengan menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan jemaah haji ke Tanah Suci. Program ini telah berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM9.4 juta dan antara barangan keperluan haji yang disumbangkan selain wang tunai adalah beg beroda, beg sandang, bahan bacaan (buku-buku doa), tikar sejadah, kelengkapan harian dan peralatan kesihatan untuk manfaat jemaah haji di Tanah Suci.
Kejayaan Operasi Haji 1440H/2019M adalah hasil daripada hubungan erat dan kerjasama padu yang diberikan daripada pelbagai pihak terutamanya agensi –agensi kerajaan dan swasta. TH akan terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada para jemaah haji negara dan memberikan penekanan kepada aspek kebajikan dan keselesaan jemaah haji dari semasa ke semasa.
TH berharap lebih banyak badan-badan korporat dan syarikat swasta untuk tampil memberikan sokongan dengan menyertai program ini pada musim-musim haji akan datang demi untuk menjamin kebajikan dan kesejahteraan para jemaah menunaikan ibadah haji.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Berusaha, Tuan Haji Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, wakil-wakil agensi, badan korporat dan anggota-anggota TH.
05112019_PR_Majlis Kesyukuran dan Sahabat Korporat 1440H 2019M.pdf