KUALA BERANG, TERENGGANU, 4 November 2014: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyampaikan agihan zakat pendidikan bernilai RM250,000 kepada 500 orang pelajar dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Projek Iqra’ Tahun 2014 bagi Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Projek Iqra’ ini merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH yang mensasarkan para pelajar kurang bernasib baik dan berkemampuan. Pada tahun ini, TH mengunjurkan pengagihan zakat pendidikan berjumlah RM2.26 juta kepada 4,531 pelajar daripada 163 sekolah di seluruh negara.
Negeri Terengganu merupakan negeri pertama menerima sumbangan dan akan disusuli dengan negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak. Para pelajar dari 10 buah sekolah terpilih menerima sumbangan zakat pendidikan berjumlah RM500 yang berupa kelengkapan sekolah dan juga wang tunai yang disempurnakan oleh Tuan Haji Mohamad Mokhzani Mukthar, Pengarah TH Negeri Terengganu.
Pemberian sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan pihak TH kepada golongan yang kurang bernasib baik disamping sebagai usaha menyokong program kerajaan dalam membangun serta melestarikan komuniti Islam di negara ini. TH berharap sumbangan ini menjadi suntikan pendorong dan motivasi kepada pelajar untuk gigih berusaha menuntut ilmu dan menempa kecemerlangan di dalam bidang akademik. Di samping itu, TH juga berharap para pelajar ini dapat menjadi pemangkin perubahan dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.
Selain daripada Projek Iqra’ ini, TH juga melaksanakan beberapa program CSR lain seperti Projek Ehsan iaitu agihan zakat kepada golongan asnaf warga emas, fakir miskin dan ibu tunggal yang dilaksanakan sempena bulan Ramadhan dan Projek Baiti iaitu agihan zakat yang peruntukkan untuk pembinaan atau penambahbaikan rumah bagi golongan asnaf fakir miskin.
Turut hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Tuan Haji Abd Rahman Abu Bakar, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Pengetua - pengetua sekolah terpilih dan anggota TH
-Tamat-