NEGERI SEMBILAN, SELASA, 14 Oktober 2014: Yang Berhormat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini menziarahi waris dan keluarga jemaah haji yang meninggal dunia di tanah suci iaitu Allahyarhamah Normah Jamin, 56, dari Pedas, Negeri Sembilan dan Allahyarham Mahad Baba, 61, dari Kota, Negeri Sembilan.
Allahyarhamah Normah Jamin telah dilaporkaan meninggal dunia pada 11 Oktober 2014 pada jam 9.40 malam, manakala Allahyarham Mahad Baba pula meninggal dunia pada 12 Oktober 2014 jam 7.00 malam (waktu Saudi) akibat jangkitan paru-paru. Jenazah mereka telah diuruskan oleh para petugas TH di Makkah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ek, Makkah.
Yang Berhormat Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kenyataanya yang mewakili seluruh warga kerja TH merakamkan ucapan takziah buat kedua-dua keluarga. Beliau berharap semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham Mahad Baba dan Allahyarhamah Normah Jamin diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian dan kehilangan insan tercinta. Beliau juga turut mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat, mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.
Dalam lawatan yang sama, Yang Berhormat Datuk Azeez turut menyampaikan bantuan khairat kematian sumbangan TH kepada waaris Allahyarham dan Allahyarhamah.
Turut serta dalam program ziarah ini adalah para pegawai serta kakitangan TH khususnya Negeri Sembilan.
-Tamat-