KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2020 - Lembaga Tabung Haji (TH) telah membentangkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2018 (Telah Diaudit) di Parlimen pada 25 Ogos 2020.
Laporan Penyata Kewangan TH 2018 telah mula dihantar kepada Jabatan Audit Negara (JAN) pada 3 Mei 2019 dan disusuli Penyata Kewangan muktamad pada 18 Jun 2019. Memandangkan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu adalah suatu perkara yang kompleks dan tidak pernah dilakukan sebelum ini, proses pengauditan oleh JAN telah memakan masa yang agak lama sehingga menyebabkan kelewatan untuk pembentangan laporan ini. Sijil Audit Bersih Tanpa Teguran dengan Emphasis of Matter oleh Ketua Audit Negara telah ditandatangani pada 20 November 2019.
Pada masa yang sama, TH perlu melalui proses biasa dan mendapatkan ulasan dari agensi Kerajaan yang berkaitan di mana ulasan-ulasan ini telah diperoleh pada 19 Disember 2019 dan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada ketika itu untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri, seterusnya di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri. Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2018 (Telah Diaudit) tidak dapat dibentangkan pada tahun 2019 berikutan Sidang Parlimen telah berakhir pada 19 Disember 2019.
Perancangan asal adalah untuk laporan ini dibentang di Parlimen semasa sidang Parlimen bulan Mac 2020. Walau bagaimanapun, ia juga tidak dapat dilakukan kerana perubahan Kerajaan dan penangguhan sidang Dewan Rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan. Oleh itu, laporan ini hanya dapat dibentangkan di Parlimen setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibentangkan pada 14 Ogos yang lalu.
Bagi Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2019, proses pengauditan masih lagi berjalan. Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2019 akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri setelah pengauditan selesai sebelum dikemukakan ke Parlimen.
Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Lembaga Tabung Haji bagi Tahun 2018 (Telah Diaudit) boleh melayari laman web rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my.