Pada pukul 4.00 petang semalam (12 Ogos 2019/11 Zulhijjah 1440H), hujan lebat telah turun di kawasan perkhemahan Mina Muaisim.
Walaubagaimanapun, keadaan kesemua khemah serta Jemaah Haji Malaysia adalah terkawal dan selamat. Tiada ancaman nyawa dan kecederaan yang dilaporkan pada Jemaah mahupun Petugas Haji.
Adalah menjadi amalan apabila hujan lebat di kawasan perkhemahan, pihak berkuasa Bomba Arab Saudi mengarahkan bekalan elektrik ditutup untuk mengelakkan insiden kejutan elektrik. Bekalan elektrik telah pulih sepenuhnya pada pukul 7:10 malam semalam.
Rata-rata kerosakan di khemah secara umumnya hanya pada karpet-karpet yang basah di dalam khemah setelah dimasuki oleh air hujan.
Pihak Muassasah Asia Tenggara telah menggantikan sebahagian karpet-karpet tersebut dan mengedarkan plastik hitam sebagai alas. Jemaah Haji Malaysia juga telah menggunakan tikar plastik yang dibekalkan semasa di Malaysia lagi sebagai alas.
Para Jemaah Haji juga telah bekerjasama membersihkan kawasan khemah yang terjejas secara bergotong-royong.
Berikutan hujan lebat, jadual melontar pada waktu petang telah ditangguhkan kepada pukul 8:20 malam semalam. Keadaan di Mina telah kembali pulih seperti sediakala pada pukul 8:00 malam semalam.
Untuk makluman, pada hari ini, 13 Ogos 2019 (12 Zulhijjah 1440H) sebahagian Jemaah Haji Malaysia telah bertolak dari Mina ke Makkah setelah melakukan Nafar Awal.