KOTA KINABALU, Selasa, 25 Julai 2017 : Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Sri Panglima Dr. Haji Juhar Haji Mahiruddin dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk R.M. Jasni telah hadir menyempurnakan majlis mengucapkan selamat jalan khususnya kepada jemaah haji dari Negeri Sabah ke Baitullahhilharam bagi Musim Haji 1438H/2017M yang berlangsung di TH Hotel Kota Kinabalu. Turut hadir dalam majlis ini adalah YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dan YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH.
Penerbangan KT06S yang membawa 160 jemaah dari Kota Kinabalu dijadualkan berlepas ke KLIA pada 1:30 pagi (26 Julai 2017). Kumpulan jemaah ini seterusnya akan berlepas dengan penerbangan terus dari KLIA ke Madinah dengan pesawat A380, MH8008 yang dijadualkan pada 26 Julai 2017, 6:00 pagi dan dijangka tiba di Madinah pada 10:00 pagi (waktu Saudi)
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Sri Panglima Dr. Haji Juhar Haji Mahiruddin, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk R.M. Jasni serta dif-dif kehormat bersalaman dan mengambil kesempatan mengucapkan selamat jalan kepada para bakal jemaah kerana terpilih menjadi tetamu Allah pada musim haji ini. Para bakal jemaah dinasihatkan agar memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut dengan sempurna agar memperoleh haji yang mabrur.
Pada musim haji tahun ini, sejumlah 114 penerbangan carter disediakan untuk membawa 30,200 bakal jemaah haji ke Tanah Suci menerusi penerbangan 2 Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan FLYNAS. Penerbangan terakhir ke Tanah Suci bagi jemaah haji negara adalah pada 26 Ogos 2017.
Dalam masa yang sama, para bakal jemaah diharap dapat menjaga nama baik negara dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan TH demi memelihara hubungan baik antara kedua-dua negara.
Pihak TH juga berkeyakinan dengan tahap keselamatan dan langkah kesiapsiagaan yang diambil oleh Kerajaan Arab Saudi dalam memastikan keselamatan jemaah haji seluruh dunia. Justeru, para jemaah tidak perlu khuatir dan diharap dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah ketika berada di Tanah Suci.
-TAMAT