Kebawah Duli Yang Maha Mulia AlWathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu berkenan mencemar duli berangkat hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada 150 orang bakal Jemaah Haji Negeri Terengganu di TH Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu Terengganu hari ini.
Kumpulan ini dijadualkan berlepas menerusi penerbangan KT27T (MH8423) pada Rabu, 17 Julai 2019 pukul 1.00 pagi dari Kuala Terengganu Ke KLIA. Mereka kemudiannya meneruskan penerbangan dari KLIA menerusi penerbangan KT27 (MH8126) pada pukul 5:10 pagi dan dijangka tiba di Madinah pada pukul 8:40 pagi (waktu Arab Saudi).
KDYMM Sultan Terengganu dalam titah ucapan baginda mengucapkan tahniah dan menyeru semua bakal haji agar bersyukur kerana terpilih sebagai tetamu Allah SWT. Baginda berharap semua jemaah haji memberi sepenuh tumpuan dalam pelaksanaan ibadat haji.
KDYMM Sultan Terengganu turut menasihati jemaah untuk menjaga kesihatan, menguatkan ketahanan mental dan fizikal serta sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan TH. Baginda mendoakan kesejahteraan semua jemaah haji, agar dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur.
KDYMM Sultan Terengganu kemudiannya bersalaman dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji. Penerbangan ke Tanah Suci Musim Haji 1440H/2019M Fasa 1 merangkumi 62 penerbangan yang bermula pada Khamis, 4 Julai 2019 dan akan berakhir pada Isnin, 5 Ogos 2019.
Majlis ini turut dihadiri oleh YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, Tuan Haji Mohd Ridzuan Wahi, Pengurus Besar Simpanan dan pengeluaran TH, YBhg. Dato’ Haji Mohyen Mosman, Pengarah Negeri Terengganu serta wakil-wakil kementerian dan agensi-agensi Kerajaan Negeri Terengganu.
16072019_PR_PELEPASAN JEMAAH HAJI TERENGGANU OLEH KDYMM SULTAN TERENGGANU (2).pdf