KUALA KUBU BHARU, Selasa, 11 Julai 2017: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerikan Rumah Ehsan Warga Emas (REWS) dengan sumbangan dua buah katil elektrik hospital dengan bateri (sokongan) yang berjumlah RM 8,904.00 di Kuala Kubu Bharu.
Mengambil keberkatan bulan Syawal pada tahun ini, sumbangan Program Alfiat TH ini diharapkan dapat memanfaatkan keseluruhan 116 orang penghuni REWS yang terdiri daripada warga emas yang menghidap penyakit nyanyuk dan lumpuh. Sumbangan ini telah disempurnakan oleh YBhg Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH.
“Program Alfiat yang kita adakan hari ini adalah salah satu dari program Tanggungjawab Sosial Korporat TH (CSR TH) merupakan program bantuan kesihatan khusus untuk membantu meringankan tanggungan kewangan golongan asnaf yang menghadapi masalah kesihatan kritikal dan/atau memerlukan alat bantuan sokongan, anggota palsu, penglihatan, pendengaran dan sebagainya Program ini merupakan platform terbaik buat TH mendekati para penerima, selain mengeratkan lagi ikatan silaturrahim dengan komuniti setempat.” kata YBhg. Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2013 sehingga 2017, Program Alfiat TH telah menyumbang sebanyak RM 1.7 juta yang melibatkan sumbangan kepada 15 buah hospital dan beberapa rawatan penyakit/keadaan yang kritikal. Selain daripada Program Alfiat, TH terus memperlihat keprihatinannya dengan penganjuran beberapa program lain seperti Program Baiti, Program Ehsan dan 2 Program Ziarah Kasih Ramadan anjuran Yayasan TH pada sepanjang bulan Ramadan sebagai sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporatnya. Program Ziarah Kasih Ramadan ini telah memanfaatkan lebih 100 ribu penerima di 76 kawasan di seluruh negara dengan keseluruhan sumbangan berjumlah RM18 juta. Program-program seumpama ini jelas memperlihatkan keprihatinan TH terhadap keperluan masyarakat setempat khususnya golongan asnaf.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Rosni Sohar, Ahli Lembaga Pengarah TH, Wakil-wakil Rumah Ehsan Warga Emas, anggota-anggota TH serta para penerima.
-Tamat