Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darulaman dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha binti Al-Marhum Tengku Ariff, Sultanah Kedah Darulaman berkenan mencemar duli berangkat hadir untuk mengucapkan selamat jalan kepada 150 orang bakal Jemaah Haji Negeri Kedah di Dewan Baiduri, TH Hotel & Convention Centre, Alor Setar hari ini.
Kumpulan ini dijadualkan berlepas menerusi penerbangan KT13K (MH8401) pada 9 Julai 2019 pukul 8.50 malam dari Alor Setar Ke KLIA. Mereka kemudiannya meneruskan penerbangan dari KLIA menerusi penerbangan KT13 (MH8112) pada 10 Julai 2019 pukul 5.30 pagi dan dijangka tiba di Madinah pada pukul 9.00 pagi (waktu Arab Saudi).
KDYMM Sultan Kedah dalam titah ucapan baginda mengucapkan tahniah dan menyeru semua bakal haji agar bersyukur kerana terpilih sebagai tetamu Allah SWT. Baginda berharap semua jemaah haji memberi sepenuh tumpuan dalam pelaksanaan ibadat haji.
KDYMM Sultan Kedah turut menasihati jemaah untuk menjaga kesihatan; menguatkan ketahanan mental dan fizikal serta sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan TH. Baginda mendoakan kesejahteraan semua jemaah haji, agar dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur.
KDYMM Sultan Kedah kemudiannya bersalaman dan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji.
Penerbangan ke Tanah Suci Musim Haji 1440H/2019M Fasa 1 merangkumi 62 penerbangan yang bermula pada Khamis, 4 Julai 2019 dan akan berakhir pada Ahad, 4 Ogos 2019.
Majlis ini turut dihadiri oleh YTM Tunku Laksamana Kedah, YTM Tunku Temenggong Kedah, YTM Tunku Bendahara Kedah, YTM Toh Puan Bendahara Kedah, YAB Menteri Besar Kedah, Pengurusan Kanan TH serta wakil-wakil Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan.