Kuala Lumpur, 12 Mei 2024. Lembaga Tabung Haji (TH) merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato' Setia Mohd Na'im Hj Mokhtar berkenaan 300 bakal haji yang terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji visa pelancong.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata para jemaah yang terkandas perlu membuat aduan atau laporan rasmi ke TH dan Kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi dengan kadar segara bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
“TH akan berkerjasama dengan pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi untuk membuat siasatan sewajarnya berdasarkan maklumat terperinci daripada para jemaah haji yang tekandas akibat terperdaya dengan tawaran pakej haji”, jelas beliau.
"Pihak kami menasihati semua jemaah umrah yang masih berada di Tanah Suci untuk akur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana ibadah umrah akan ditutup pada 15 Mei 2024 bagi persedian musim haji", tambah beliau.
Peraturan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan TH adalah untuk menjaga kebajikan dan keselamatan para jemaah haji ketika musim Haji.
-Tamat-