KUALA LUMPUR, 7 MEI 2024 – Bagi memudahkan bakal-bakal jemaah haji negara untuk melunaskan tanggungjawab, Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan perkhidmatan bayaran Dam dan Qurban melalui aplikasi THiJARI untuk musim haji tahun ini seperti mana tahun-tahun sebelumnya.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab memaklumkan bakal haji bagi musim 1445H/2024 boleh membuat pembayaran Dam sebelum ke tanah suci Makkah.
“Bertepatan dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, bakalbakal haji tahun ini yang akan melaksanakan ibadah haji secara Tamattu’ dan Qiran digalakkan untuk melaksanakan bayaran dam pada kadar semasa yang ditentukan sebelum sampai di tanah suci kerana ianya lebih mudah”, jelas beliau.
“Sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan haji yang menyeluruh, tahun ini TH terus menyediakan kemudahan perkhidmatan bayaran Dam dan Qurban melalui aplikasi THiJARI dan juga melalui kaunter pejabat cawangan di seluruh negara”.
“Kaedah pembayaran secara atas talian ketika di tanah air lagi pastinya dapat membantu menyenangkan lagi bakal haji berbanding ketika tiba di Makkah nanti”, tambahnya lagi.
Pembayaran dam tahun ini ditetapkan pada kadar RM725 bagi seekor kambing/kibas di mana daging sembelihan ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Makkah.
Manakala, kadar pembayaran Qurban pula ditetapkan pada RM936 untuk seekor kambing/kibas dan urusan pengagihan akan dilaksanakan oleh Islamic Development Bank (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutamanya di rantau negara teluk dan benua Afrika. Tawaran pelaksanaan Qurban ini turut dibuka kepada semua pendeposit TH.
Pembayaran Dam dan Qurban ini boleh dilaksanakan melalui aplikasi THiJARI bermula hari Isnin, 29 April 2024 ataupun secara bersemuka melalui pembayaran di mana-mana kaunter pejabat cawangan TH di seluruh negara.
Mohamed Ameen turut mengingatkan kepada semua bakal haji supaya berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran Dam yang mencurigakan daripada agensi-agensi pelancongan ataupun mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.
Beliau berkata, “TH berasa bertanggungjawab untuk mengingatkan kepada para pendeposit terutamanya bakal-bakal haji untuk menyemak dan memeriksa terlebih dahulu sebarang syarikat penyedia perkhidmatan Qurban atau Dam secara teliti bagi mengelakkan dari terpedaya dengan taktik scammer”.
“Sekiranya bakal-bakal haji ingin laksanakan Qurban atau Dam dengan sendirinya, dinasihatkan supaya bakal-bakal haji memastikan syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut berdaftar secara sah dan mempunyai pengalaman serta rekod pengurusan pelaksanaan Dam dan Qurban yang baik di tanah suci,” jelas beliau lagi.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian +603 - 6207 1919; Faks: +603 - 7728 4959 atau emel : th-info@lth.gov.my
-TAMAT-