Seremban, Negeri Sembilan, 15 April 2013 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaannya kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) berjumlah RM1,588,312.52.
Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah menerima zakat tersebut bagi pihak Pusat Zakat Negeri Sembilan yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Paduka Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH bertempat di Istana Higgap Seremban, Negeri Sembilan.
Pengagihan zakat TH ini adalah sebahagian daripada perolehan keuntungan pendapatan yang dicatatkan oleh TH untuk tahun kewangan 2012. Jumlah zakat untuk Negeri Sembilan bagi tahun 2012 ini telah meningkat sebanyak 6% berbanding RM1,493,055.94 bagi tahun 2011.
Pembayaran zakat TH adalah berdasarkan kaedah modal kerja terlaras yang dilaksanakan mengikut pengiraan tahun kewangan semasa. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2012 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM41.2 juta.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah YAB. Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), YB. Dato' Haji Razak bin Mansor, 2 Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PZNS, Sahibul Samahah Dato' Haji Mohd Yusof bin Haji Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Lembaga Pengarah PZNS, YBhg. Dato' Johani bin Hasan, Pengarah JHEAINS, merangkap Ahli Lembaga Pengarah PZNS, Encik kamal Amran bin Kamarudin, Setiausaha MAINS merangkap Ahli Lembaga Pengarah PZNS, YBrs. Ustaz Nor Azmi bin Haji Musa, Pengurus Besar PZNS serta para pegawai TH.
- Tamat –
Tabung Haji Serah Zakat Perniagaan TH 2012 Kepada Pusat Zakat Negeri Sembilan