KUALA LUMPUR, 14 April 2020 - Lembaga Tabung Haji (TH) menyahut saranan YAB Perdana Menteri Malaysia menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk memberi pengecualian bayaran sewa kepada peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
TH melaksanakan inisiatif pengecualian bayaran sewa selama dua (2) bulan kepada peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas. Insentif ini diberi bagi meringankan beban yang ditanggung oleh para peniaga premis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBhg. Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, pengecualian bayaran sewa ini diberikan kepada kira-kira 170 PKS yang menyewa di 60 premis bangunan milik TH di seluruh negara.
Perniagaan dan penyewa yang diberikan pengecualian bayaran sewa adalah seperti kedai menjual pakaian, elektrik dan elektronik, syarikat konsultasi, telekomunikasi, ejen pelancongan, perniagaan runcit, percetakan dan syarikat penyelenggaraan dan pembaikan. Inisiatif ini secara tidak langsung akan dapat meringankan beban yang ditanggung pengendali premis, yang terkesan akibat ketidakmampuan untuk meneruskan perniagaan berikutan PKP bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
TH percaya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan akan terus menyokong usaha Kerajaan memastikan sektor PKS terus cekal dan mampan dalam menghadapi tekanan dan cabaran ekonomi yang melanda negara ketika ini.
14042020_SIARAN AKHBAR_TH BERI INSENTIF PENGECUALIAN SEWA KEPADA PKS.pdf