KUCHING, 3 April 2018 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membayar zakat berjumlah RM 1,150,280.61 bagi tahun kewangan berakhir 2017 kepada Tabung Baitulmal Sarawak dalam satu majlis ringkas di Astana Negeri, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.
YBhg. Dato’ Badlisyah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH telah menyerahkan bayaran zakat kepada TYT Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Yang Di-Pertua Negeri Sarawak. Pembayaran zakat bagi negeri Sarawak ini mencatatkan peningkatan sebanyak 11.65% berbanding RM 1,030,264.85 (2016).
Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBhg. Datu Haji Putit bin Matzen, Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf; YBhg. Datu Haji Abang Mohd Shibli bin Haji Abang Mohd Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak; Al Fadil Ustaz Haji Khalidi bin Ibrahim, Pemangku Pengarah, Jabatan Agama Islam Sarawak; Puan Hajah Zaiton Mohd Yusoff, Pengarah TH Negeri Sarawak; para pegawai Tabung Baitulmal Sarawak dan anggota-anggota TH.