KUALA LUMPUR, 21 Mac 2023 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan bagi bakal haji Malaysia musim haji 1444H/2023 seperti tahun sebelumnya.
Walaupun Malaysia kini menuju ke fasa endemik, kerajaan Malaysia harus menghormati keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang masih mengklasifikasikan COVID-19 sebagai pandemik.
Keputusan KKM dan TH mengekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan seperti musim haji 1443H/2022 adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan semua bakal jemaah haji Malaysia berada pada tahap kesihatan yang baik dari segi fizikal dan mental untuk melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.
Kriteria pemeriksaan kesihatan di bawah Garis Panduan ini antaranya menetapkan Indeks jisim badan (BMI) tidak melebihi 40, penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes yang stabil, tiada penyakit yang serius seperti kanser, penyakit paru-paru yang kronik dan sebagainya.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dato' Seri Dr. Haji Noor Hisham Abdullah, pemeriksaan kesihatan bakal haji merupakan aktiviti penting yang dijalankan oleh KKM dengan kerjasama TH ke atas setiap bakal haji yang akan menunaikan fardu haji ke tanah suci setiap tahun.
“Ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental, maka aspek kesihatan harus dititik beratkan oleh semua bakal haji bermula di tanah air lagi.
Pemeriksaan kesihatan adalah satu langkah positif agar semua jemaah haji Malaysia mempunyai tahap kesihatan baik kerana ibadat haji melibatkan jutaan jemaah dari seluruh dunia ,” tambah beliau.
“Semasa di tanah suci, jemaah haji juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak, elakkan daripada berhubung dengan mereka yang bergejala dan menjalani ujian RTK-Ag COVID-19 kendiri sekiranya mendapati diri bergejala” tambah beliau lagi.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata saringan kesihatan yang ketat pada musim haji lalu adalah satu langkah yang berkesan apabila peratusan jemaah haji yang mendapatkan rawatan pesakit luar dan dimasukkan ke dalam wad amat rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Selaras dengan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi dan KKM, setiap bakal jemaah haji Malaysia wajib menjalani pemeriksaan kesihatan oleh doktor di klinik-klinik yang diiktiraf.
Langkah ini adalah bagi memastikan jemaah haji Malaysia berada pada tahap kesihatan yang optimum,” ujar beliau. “Insya-Allah, surat tawaran haji akan dikeluarkan bermula 22 Mac 2023.
Semua bakal haji Malaysia boleh menyemak dan menjawab tawaran haji melalui www.thijari.com.my atau memuatnaik aplikasi THiJARI bagi tujuan tersebut,” tambah beliau.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan TH, sila lawati www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
-Tamat